Sunday, November 2, 2008

6 Syarat Peroleh Kebahagiaan Hakiki

KEBAHAGIAAN menjadi dambaan dan impian setiap insan. Oleh kerana kebahagiaan adalah satu istilah bersifat subjektif, maka tafsiran dan pemahamannya juga berbeza antara seorang dengan yang lain.

Ada yang menganggap kebahagiaan dapat dicari apabila memperoleh kekayaan melimpah ruah. Tidak kurang juga berpendapat kebahagiaan hanya diperoleh daripada suasana rumah tangga yang harmoni. Selebihnya pula berpendapat kebahagiaan sebenar terhasil daripada ketenangan jiwa dan keimanan tulus ke hadrat Allah Maha Esa.

Ringkasnya, setiap manusia mempunyai persepsi dan pemahaman berbeza mengenai kebahagiaan memandangkan penilaian perasaan bahagian itu sendiri hanya mereka saja yang boleh merasainya.

Menurut ahli falsafah Muslim terkenal, al-Farabi, kebahagiaan adalah suatu darjat kebajikan yang tertinggi yang tidak ada lagi suatu jenis kebajikan lebih tinggi atau lebih berharga daripadanya.

Justeru, sebagai kebajikan paling utama, kebahagiaan sangat dicari setiap insan untuk kebaikan dirinya. Ia adalah matlamat hidup sebenar dan keinginan terakhir dijejaki manusia kerana kejayaan menggapai kebahagiaan menjadikan mereka tidak memerlukan sesuatu yang lain daripadanya.

Ahli falsafah Yunani, Aristotles, pula menyatakan bahawa kebahagiaan adalah kebaikan tertinggi yang dibentuk dan diasaskan di bawahnya oleh himpunan kebaikan sangat banyak jumlahnya seperti kecantikan, kesihatan, kekayaan, kekuasaan, kecerdasan, ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan.

Semua nilai kebaikan itu adalah antara komponen yang dicari dan dijejaki setiap manusia sebagai wasilah menyampaikan mereka kepada kebahagiaan diimpikan.
Menurut perspektif Islam, kebahagiaan adalah lawan kepada penderitaan, kecelakaan dan kesengsaraan. Dalam konteks ini, orang yang berbahagia adalah orang yang memperoleh naungan rahmat, perlindungan dan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah.

Sebaliknya, orang yang celaka dan sengsara adalah orang yang dijauhkan daripada rahmat Ilahi dan mendapat seksaan api neraka. Orang yang beriman kepada Allah sedia maklum dan meyakini bahawa Allah akan menjamin kebahagiaan kepada orang beriman serta beramal salih.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman; iaitu mereka yang khusyuk dalam solat, menjauhi (perbuatan dan perkataan) sia-sia, mengeluarkan zakat, menjaga kehormatan diri kecuali terhadap isteri dan hamba mereka, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Sesiapa yang mencari selain daripadanya (isteri dan hamba), maka mereka itu orang yang melanggar batasan. Mereka yang menjaga amanah dan janji, mereka yang sentiasa mengerjakan solat, mereka itulah pewaris yang bakal mewarisi syurga Firdaus dan kekal di dalamnya.” - (Surah al-Mukminun, ayat 1-11)

Berdasarkan pengertian ayat suci itu, dapat disimpulkan sekurang-kurangnya ada enam syarat utama perlu dipenuhi terlebih dulu oleh setiap Muslim sebelum dapat mengecapi nikmat kebahagiaan yang dijanjikan Allah.

Enam syarat itu ialah khusyuk dalam solat, meninggalkan perkara sia-sia, mengeluarkan zakat, memelihara kehormatan diri, memelihara amanah serta menunaikan janji dan sentiasa mengerjakan solat.

Pendek kata, sesiapa yang dapat menghiasi dirinya dengan enam ciri itu, nescaya dia sudah menempah tiket kebahagiaan sejati yang dijanjikan Allah dan seterusnya terjamin di sisi Allah sebagai pewaris syurga Firdaus.

Berdasarkan hadis sahih, Rasulullah SAW pernah menjanjikan dua jenis kegembiraan (kebahagiaan) kepada orang berpuasa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa ada dua jenis kegembiraan; iaitu kegembiraan pada waktu berbuka puasa dan kegembiraan pada waktu berjumpa dengan Allah.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut ulama al-Azhar, Syeikh Mahmud Syaltut, berdasarkan hadis Rasulullah SAW, kegembiraan (kebahagiaan) yang pertama bagi seorang Muslim adalah kegembiraan kerana berjaya melaksanakan ibadat atau kewajipan agama yang diperintahkan Allah.

Kegembiraan kedua pula ditafsirkan sebagai kegembiraan kerana yakin dan optimis dengan ganjaran pahala berlipat ganda dijanjikan Allah kepadanya.
Tambah Syeikh Mahmud lagi, kedua-dua kegembiraan dicapai daripada menunaikan perintah Allah dan harapan terhadap ganjaran pahala di sisi Allah adalah dua faktor yang secara langsung akan memudahkan seseorang Muslim menjejaki kebahagiaan hidupnya dunia akhirat.

Kejayaan menunaikan perintah Allah akan mencetuskan ketenangan jiwa di sudut hatinya di samping harapan mendapatkan ganjaran pahala besar akan mempertingkatkan lagi motivasi serta kesungguhannya untuk terus beribadat dan beramal soleh selagi hayat masih dikandung badan.

Barangkali inilah antara hikmah dan kesan yang boleh dirasai setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Nilai kebahagiaan sebenarnya tidak diukur pada harta seseorang, pangkat atau kedudukannya.

Sebaliknya, kebahagiaan menurut kaca mata Islam didasarkan kepada amalan salih hamba Allah dengan penuh ikhlas sepanjang hidupnya. Itulah kebahagiaan sejati yang dijanjikan Allah kepada sesiapa yang beriman kepada-Nya dengan sebenar-benar iman.

No comments: