Assalamualaikum wbt.
Kita relaks kejap dari entry kek ya. Nanti tak henti-henti telan air liur. Sian kawan-kawan saya. :)
Sebelum mengerjakan umrah, saya selalu mencari maklumat dari sesiapa yang sudah mengerjakan umrah. Membaca kisah dan pengalaman mereka di sana. Ada juga maklumat yang saya peroleh dari buku juga.
Jadi... bila dah banyak sangat cerita dan pengalaman yang sama ( atau lebih kurang) membuatkan saya berfikir sebelum menulis. Saya sendiri takde kerajinan untuk menulis secara terperinci perjalanan saya di sana.
Nak menulis tentang Raudhah ni pun ambil masa berminggu-minggu. Sebelum ni saya dah kongsi cerita Raudhah di FB. Cuma bila nak pindahkan ke dalam blog, saya duk bertangguh kunun nak tulis lagi. Nak tambah gula sebagai penambah sedap cerita.
Raudhah, salah satu tempat yang menjadi tumpuan dan impian setiap jemaah umrah dan haji untuk masuk solat dan berdoa di dalamnya. Bagi jemaah lelaki, boleh melawat makam Rasulullah SAW dan juga sahabat Nabi SAW iaitu Abu Bakar dan Umar al-Khattab.
Inilah Raudhah bahagian perempuan. Dalam sehari jemaah wanita dibenarkan untuk masuk sebanyak 3 kali.
Selepas Subuh sehingga jam 10 pagi.
Selepas Zuhur sehingga jam 3 petang.
Selepas Isya' sehingga jam 11 malam.
Pada masa yang lain kawasan ini dibuka untuk jemaah lelaki. Seperti gambar di atas.
Suasana ketika ini sangat berbeza apabila raudhah dibuka untuk jemaah perempuan. Sesak. Jemaah dibahagikan mengikut negara. Jemaah Malaysia diletakkan bersama jemaah Indonesia, Thailand dan Singapura. Tak mungkin dan sama sekali JANGAN cuba-cuba untuk masuk jemaah Arab dan seangkatan dengan mereka. Lunyai korang nanti kena tolak. Alangkan saya yang besar pun terasa sengal bila berselisih.
Pernah satu masa, saya ke Raudhah bersama kawan dan beberapa rakan emaknya. Saya dan rakan berusaha menghalang dari belakang agar tidak ditolak dengan jemaah yang lain. Halang punya halang sampai masa kami dah berada di Raudhah, emak kawan saya dan rakan-rakannya bergerak perlahan-lahan keluar dari Raudhah. Saya diam tidak bergerak. 10 minit kemudian rakan saya datang beritahu mak dan rakan mereka mahu pulang. Tak sanggup bertolak dengan jemaah lain yang seakan dilanda amuk histeria bila dapat memasuki Raudhah.
Tinggallah saya seorang di celah-celah himpitan jemaah wanita yang ramai.
15 minit pertama saya berdiri. Berdiri sambil berdoa dan berselawat. Langsung tak dapat ruang untuk solat. Tiada ruang untuk rukuk apatah lagi sujud. Bila dah lama berdiri, saya dengar petugas wanita mengarahkan kami untuk keluar. Saya dengar tetapi buat-buat tidak faham. Saya tak mahu keluar lagi. Saya mahu berlama-lama di Raudhah. Apa yang saya buat. Berdiri seperti orang sedang solat. Sebenarnya tak solat pun. Doa sahaja.
Selepas 15 min... keadaan beransur sedikit tenang. Saya bergerak ke hadapan lagi. Pada masa ini ada sedikit ruang untuk solat. Saya angkat takbir. Solat. Ketika rukuk, saya berhati-hati turun. Takut ditolak dari arah belakang. Berjaya. Sampai masa untuk sujud. Saya terpaksa menolak sedikit jemaah di hadapan saya supaya dia sedar saya mahu sujud. Alhamdulillah selesai satu solat sunat.
Hati saya berkeras untuk berlama lagi di Raudhah. Saya bangun. Berdiri lagi seolah-olah mahu solat. Sedangkan tidak. Saya berdoa sambil berdiri. Jika duduk ada potensi besar petugas wanita akan menyuruh saya keluar.
Puas berdoa.. Saya solat lagi. Solat.. berdiri. Solat... berdiri.. Sehinggalah selesai semua solat sunat yang boleh dilakukan.
Semakin lama Raudhah semakin tenang. Saya boleh berdiri tanpa merasa himpitan dan asakan dari jemaah lain. Masa ini saya ambil peluang menghayati suasana Raudhah sambil melihat gelagat jemaah dari bermacam negara.
Pada masa ini hati terdetik. dari saat saya mahu ke Raudhah. Menunggu giliran yang mengambil masa 2 jam baru dapat menjejakkan kaki ke Raudhah. Bersesak-sesak dengan pelbagai ragam manusia. Hati berbisik, 'ini adalah sedikit gambaran kita nanti di padang masyar. ini baru sedikit. Nanti di bawah terik mentari dengan lautan manusia menunggu giliran dihisab. Bagaimanakah keadaan kita?
Moga Allah tempatkan kita dikalangan ahli syurgaNya. Insyaallah.
Sayu rasa hati mahu meninggalkan Raudhah. Bila memikirkan ramai lagi jemaah lain yang mahu mengambil barakah solat di Raudhah. Perlahan-lahan saya bergerak keluar. Sedih. Tak lama kemudian saya disapa oleh jemaah malaysia yang sama dalam rombongan umrah saya. Kami bergerak keluar bersama.
Moga-moga Allah jemput lagi saya ke sini.
Tips untuk ke Raudhah bagi jemaah perempuan :
1- Doa moga Allah permudahkan perjalanan kita untuk masuk ke Raudhah.
2- Bawa al-quran atau buku doa untuk dibaca ketika menunggu. Proses menunggu boleh mengambil masa paling lama 2 jam. Paling sekejap setengah jam. Alhamdulillah saya merasa kedua-dua proses ini.
3- Sabar. Sabar dan banyakkan bersabar. Anda akan melihat bermacam gelagat jemaah yang boleh membuatkan anda berputus asa untuk datang ke Raudhah lagi.
4- Jika datang bersama rakan jemaah yang lain. Sama-sama berpakat. Sorang atau dua solat yang dua lagi berjaga/ halang jemaah lain dari merempuh atau melangkah badan rakan anda. Katakan saja, 'ya hajjah.. isbir... isbir. solah.'
5- Sekiranya ada peluang atau ruang utk solat di depan tiang. Manfaatkan ruang tersebut. insyaallah.. akan kurang asakan dari arah belakang.
6- Karpet raudhah berwarna hijau muda. berbanding ruang lain berwarna merah. petugas wanita akan mengarahkan kita untuk segera solat dan keluar selepas selesai salam. terpulang kepada kita utk memanfaatkan masa dan peluang ketika di sana. Sekiranya anda mahu selamat, cari ruang yang jauh dari petugas wanita. Biasanya ke depan sehingga tabir putih yang menghadang Raudhah. Ataupun bergerak ke kanan Raudhah menghala ke Makam Nabi.
7- Dalam sehari, ada tiga masa yang diperuntukkan untuk jemaah wanita, manfaatkan ketiga-tiga masa untuk masuk ke Raudhah. Biasanya waktu siang memerlukan masa yang lama untuk sampai ke Raudhah. Hampir 2 jam menunggu giliran. Berbanding waktu malam, saya bergerak ketika jam menunjukkan angka 10 malam. Ketika kami sampai, giliran jemaaah Asia sudah sampai ke ruang menunggu yang terakhir. Tak sampai setengah jam, kami sudah berada dalam Raudhah. Alhamdulillah.
Barangkali jemaah yang lain, selesai sahaja solat Isya' terus bergerak pulang ke hotel masing-masing selepas seharian di masjid. Tu sebab Raudhah sedikit lenggang.
Bagaimana cara dan apa yang saya kongsikan takkan dapat dilaksanakan tanpa izin Allah. Berdoa banyak-banyak moga Allah permudahkan urusan dan laluan kalian.
Rasai dan nikmati asakan dan momen-momen anda untuk berada di Raudhah. Ianya akan menjadi kenangan manis yang akan dirindui selalu.
Sampaikan salam saya buat Rasulullah saw dan sahabat jika anda ke sana. :)
Kredit gambar kepada Prof Kamil. Saya tak bawa kamera sepanjang berada dalam masjid. Hanya mengambil gambar sekitar sahaja.