Showing posts with label Umrah Ziarah 2012. Show all posts
Showing posts with label Umrah Ziarah 2012. Show all posts

Tuesday, April 24, 2012

Umrah Ziarah : Raudhah, Masjid Nabawi.

Assalamualaikum wbt.

Kita relaks kejap dari entry kek ya. Nanti tak henti-henti telan air liur. Sian kawan-kawan saya. :)

Sebelum mengerjakan umrah, saya selalu mencari maklumat dari sesiapa yang sudah mengerjakan umrah. Membaca kisah dan pengalaman mereka di sana. Ada juga maklumat yang saya peroleh dari buku juga.

Jadi... bila dah banyak sangat cerita dan pengalaman yang sama ( atau lebih kurang) membuatkan saya berfikir sebelum menulis. Saya sendiri takde kerajinan untuk menulis secara terperinci perjalanan saya di sana.

Nak menulis tentang Raudhah ni pun ambil masa berminggu-minggu. Sebelum ni saya dah kongsi cerita Raudhah di FB. Cuma bila nak pindahkan ke dalam blog, saya duk bertangguh kunun nak tulis lagi. Nak tambah gula sebagai penambah sedap cerita.

Raudhah, salah satu tempat yang menjadi tumpuan dan impian setiap jemaah umrah dan haji untuk masuk solat dan berdoa di dalamnya. Bagi jemaah lelaki, boleh melawat makam Rasulullah SAW dan juga sahabat Nabi SAW iaitu Abu Bakar dan Umar al-Khattab.


Inilah Raudhah bahagian perempuan. Dalam sehari jemaah wanita dibenarkan untuk masuk sebanyak 3 kali.

Selepas Subuh sehingga jam 10 pagi. 
Selepas Zuhur sehingga jam 3 petang. 
Selepas Isya' sehingga jam 11 malam. 

Pada masa yang lain kawasan ini dibuka untuk jemaah lelaki. Seperti gambar di atas.

Suasana ketika ini sangat berbeza apabila raudhah dibuka untuk jemaah perempuan. Sesak. Jemaah dibahagikan mengikut negara. Jemaah Malaysia diletakkan bersama jemaah Indonesia, Thailand dan Singapura. Tak mungkin dan sama sekali JANGAN cuba-cuba untuk masuk jemaah Arab dan seangkatan dengan mereka. Lunyai korang nanti kena tolak. Alangkan saya yang besar pun terasa sengal bila berselisih.

Pernah satu masa, saya ke Raudhah bersama kawan dan beberapa rakan emaknya. Saya dan rakan berusaha menghalang dari belakang agar tidak ditolak dengan jemaah yang lain. Halang punya halang sampai masa kami dah berada di Raudhah, emak kawan saya dan rakan-rakannya bergerak perlahan-lahan keluar dari Raudhah. Saya diam tidak bergerak. 10 minit kemudian rakan saya datang beritahu mak dan rakan mereka mahu pulang. Tak sanggup bertolak dengan jemaah lain yang seakan dilanda amuk histeria bila dapat memasuki Raudhah.

Tinggallah saya seorang di celah-celah himpitan jemaah wanita yang ramai.

15 minit pertama saya berdiri. Berdiri sambil berdoa dan berselawat. Langsung tak dapat ruang untuk solat. Tiada ruang untuk rukuk apatah lagi sujud. Bila dah lama berdiri, saya dengar petugas wanita mengarahkan kami untuk keluar. Saya dengar tetapi buat-buat tidak faham. Saya tak mahu keluar lagi. Saya mahu berlama-lama di Raudhah. Apa yang saya buat. Berdiri seperti orang sedang solat. Sebenarnya tak solat pun. Doa sahaja.

Selepas 15 min... keadaan beransur sedikit tenang. Saya bergerak ke hadapan lagi. Pada masa ini ada sedikit ruang untuk solat. Saya angkat takbir. Solat. Ketika rukuk, saya berhati-hati turun. Takut ditolak dari arah belakang. Berjaya. Sampai masa untuk sujud. Saya terpaksa menolak sedikit jemaah di hadapan saya supaya dia sedar saya mahu sujud. Alhamdulillah selesai satu solat sunat.

Hati saya berkeras untuk berlama lagi di Raudhah. Saya bangun. Berdiri lagi seolah-olah mahu solat. Sedangkan tidak. Saya berdoa sambil berdiri. Jika duduk ada potensi besar petugas wanita akan menyuruh saya keluar.

Puas berdoa.. Saya solat lagi. Solat.. berdiri. Solat... berdiri.. Sehinggalah selesai semua solat sunat yang boleh dilakukan.

Semakin lama Raudhah semakin tenang. Saya boleh berdiri tanpa merasa himpitan dan asakan dari jemaah lain. Masa ini saya ambil peluang menghayati suasana Raudhah sambil melihat gelagat jemaah dari bermacam negara.

Pada masa ini hati terdetik. dari saat saya mahu ke Raudhah. Menunggu giliran yang mengambil masa 2 jam baru dapat menjejakkan kaki ke Raudhah. Bersesak-sesak dengan pelbagai ragam manusia. Hati berbisik, 'ini adalah sedikit gambaran kita nanti di padang masyar. ini baru sedikit. Nanti di bawah terik mentari dengan lautan manusia menunggu giliran dihisab. Bagaimanakah keadaan kita?

Moga Allah tempatkan kita dikalangan ahli syurgaNya. Insyaallah.

Sayu rasa hati mahu meninggalkan Raudhah. Bila memikirkan ramai lagi jemaah lain yang mahu mengambil barakah solat di Raudhah. Perlahan-lahan saya bergerak keluar. Sedih. Tak lama kemudian saya disapa oleh jemaah malaysia yang sama dalam rombongan umrah saya. Kami bergerak keluar bersama.

Moga-moga Allah jemput lagi saya ke sini.

Tips untuk ke Raudhah bagi jemaah perempuan :

1- Doa moga Allah permudahkan perjalanan kita untuk masuk ke Raudhah.

2- Bawa al-quran atau buku doa untuk dibaca ketika menunggu. Proses menunggu boleh mengambil masa paling lama 2 jam. Paling sekejap setengah jam. Alhamdulillah saya merasa kedua-dua proses ini.

3- Sabar. Sabar dan banyakkan bersabar. Anda akan melihat bermacam gelagat jemaah yang boleh membuatkan anda berputus asa untuk datang ke Raudhah lagi.

4- Jika datang bersama rakan jemaah yang lain. Sama-sama berpakat. Sorang  atau dua solat yang dua lagi berjaga/ halang jemaah lain dari merempuh atau melangkah badan rakan anda. Katakan saja, 'ya hajjah.. isbir... isbir. solah.'

5- Sekiranya ada peluang atau ruang utk solat di depan tiang. Manfaatkan ruang tersebut. insyaallah.. akan kurang asakan dari arah belakang.

6- Karpet raudhah berwarna hijau muda. berbanding ruang lain berwarna merah. petugas wanita akan mengarahkan kita untuk segera solat dan keluar selepas selesai salam. terpulang kepada kita utk memanfaatkan masa dan peluang ketika di sana. Sekiranya anda mahu selamat, cari ruang yang jauh dari petugas wanita. Biasanya ke depan sehingga tabir putih yang menghadang Raudhah. Ataupun bergerak ke kanan Raudhah menghala ke Makam Nabi.

7- Dalam sehari, ada tiga masa yang diperuntukkan untuk jemaah wanita, manfaatkan ketiga-tiga masa untuk masuk ke Raudhah. Biasanya waktu siang memerlukan masa yang lama untuk sampai ke Raudhah. Hampir 2 jam menunggu giliran. Berbanding waktu malam, saya bergerak ketika jam menunjukkan angka 10 malam. Ketika kami sampai, giliran jemaaah Asia sudah sampai ke ruang menunggu yang terakhir. Tak sampai setengah jam, kami sudah berada dalam Raudhah. Alhamdulillah.

Barangkali jemaah yang lain, selesai sahaja solat Isya' terus bergerak pulang ke hotel masing-masing selepas seharian di masjid. Tu sebab Raudhah sedikit lenggang.

Bagaimana cara dan apa yang saya kongsikan takkan dapat dilaksanakan tanpa izin Allah. Berdoa banyak-banyak moga Allah permudahkan urusan dan laluan kalian.

Rasai dan nikmati asakan dan momen-momen anda untuk berada di Raudhah. Ianya akan menjadi kenangan manis yang akan dirindui selalu.

Sampaikan salam saya buat Rasulullah saw dan sahabat jika anda ke sana. :)

Kredit gambar kepada Prof Kamil. Saya tak bawa kamera sepanjang berada dalam masjid. Hanya mengambil gambar sekitar sahaja. 
 

Tuesday, April 17, 2012

Umrah ziarah 2012 : Masjid Nabawi, Madinah.

 Assalamualaikum wbt.



Lorong yang selalu saya gunakan untuk ke Masjid Nabawi.

Dekat sangat masjid dengan hotel. 150 meter.

Rindu datang lagi..

Friday, April 6, 2012

Umrah Ziarah 2012 : Huwaida.

Assalamualaikum wbt.



Ma ismuki ?

Ismi Huwaida.

Kam umuruki?

Sab'ah sanawat.

Min aina anti?

Ana min Qaheerah.
 

Anak kecil Mesir yang murah dengan senyuman. :)

Seronok sembang dengan dia. Senyum memanjang.

Salah satu cara saya nak tarik perhatian anak Haramain ialah dengan menghulurkan biskut atau coklat.

Dalam malu segan nak ambik, diorang datang jugak hulurkan tangan sambut coklat yang saya beri.

Lepas dah bagi coklat, biasanya dorang akan duduk dekat dengan saya. Sambil belek coklat. Saya pun mula la tanya soalan-soalan basic di atas. lama-lama bila dorang dah mesra, saya pulak lost bila dorang tanya banyak.

Mula lah saya ingat dengan kawan saya, Ummu. Kan best kalau dia ada. Boleh la dia jadi penterjemah bahasa untuk saya. kihkih. :)

Rindu Haramain. 

Wednesday, April 4, 2012

Umrah Ziarah : Turkey.

Assalamualaikum wbt.

Salam hujung minggu...!

Hiaaarrgghh... nak kena lawan rasa ngantuk. Cuaca pun seakan mengajak saya sambung tidur dan tarik selimut kembali. Seronoknya bermalas-malasan di hujung minggu. Tapiii... bukan untuk saya. Jenuh tadi lawan ngantuk. Dah la semalam tidur lambat. Hari ni kena sambung lagi kerja. Mata mengantuk. Otak pulak berhempas pulas mengarahkan badan supaya 'bangun.. bangun..!!' Sampaikan berjalan pun mata duk pejam lagi. Aiyaakk!

Sekarang dah ok. Lepas pekena kopi secawan. Mata pun tak payah sangkut kayu dah nak bagi celik. Sambil tunggu kek masak. Saya ambil kesempatan ini untuk coretkan sesuatu di sini.

Saya ada baca komen sorang pembaca tanyakan tentang tips semasa di Turkey.

Eehhhmmm... ya Allah. Hati ini sentiasa (masih) teringat masa-masa berjalan di sana. Menjejaki sisa-sisa semangat Al-Fatih yang ada di sana. Sambil tu teringat dekat Fatih Kak Siti. Teringat dekat Kak Siti pun ya. Kan seronok kalau Kak Siti yang jadi pemandu pelancong saya. Kak Siti minat sejarah. Lagi-lagi sirah islamiyah. Mesti lagi seronok jalan-jalan saya di Turkey.

Tips saya...

Pertama : Baca.

Banyakkan membaca sirah-sirah dan maklumat am berkaitan Turkey. Tak kisah la korang cari dekat internet. Baca dalam buku. Nak lagi semangat beli buku-buku travel pasal Turkey.

Saya... hehe. Saya banyak tahu pasal Turkey melalui novel dan buku. Sebelum pergi Turkey saya baca dua novel dari Anis Ayuni dan Saidatul Nisa. Sebelum pergi, bila baca dua novel ni tak dapat bayangkan macamana tempat yang dorang ceritakan. Dalam hati terdetik, 'bestnya Turkey.. bestnya dia dapat pergi.'

Selain dari novel, saya baca juga buku karangan Ustaz Hasrizal bertajuk Secangkir Teh Pengubat Letih dan buku sejarah tentang Sultan Muhammad Al Fatih karangan Abdul Latip Talib.

Tak boleh nak harap sangat dengan pemandu pelancong. Baik kita banyakkan membaca dulu.

Masa tu rancangan untuk pergi umrah ziarah Turkey belum muncul lagi. Jadi angan-angan tu memang tinggi. Angan-angan je lah. Sampailah tengah tahun 2011 mak menyuarakan hajat dia nak pergi umrah. Kali ni nak pegi umrah dengan ziarah. Sekali mak kata nak pergi Turkey. Dalam hati, 'bestnya..' Lagi best mak kata kita pergi dengan Njang.' Siapa kita tu?' Mak nak bawak siapa?

Sekali maksud kita tu saya. 'Masyaallah... betul ke ni!' Dalam hati je. Segan nak tunjuk rasa teruja depan mak. Kata mak, 'Tahun ni mak bawak Ima. Tahun depan ada rezeki mak bawak adik pulak.'

Kedua : Kekalkan wudhuk.

Turkey mempunyai 1000 buah masjid ( barangkali lebih atau kurang. Wallahua'lam) untuk menampung jumlah penduduk sebanyak 80 juta orang di mana majoriti adalah Muslim.

Antara masjid yang kami lawati ialah Grand Mosque, Bursa. Blue Mosque, Istanbul. Sultan Suleymaniye Mosque, Istanbul.

Ambil peluang yang ada untuk berniat iktikaf di masjid ( walaupun sebentar) dan mengerjakan solat tahyatul masjid.  Tak lupa solat dhuha juga. Kadang bila masa melawat kena waktu solat fardhu. Teruskan dengan solat berjemaah. Bukan selalu dapat peluang.

Masa ni kita dapat tengok masjid sesak dengan jemaah tak kira lelaki atau perempuan. Seronok walaupun berebut tempat nak solat.

Masa kami pergi, Turkey sedang mengalami musim sejuk. Siap turun salji lagi. Sejukkkss! Memang bercinta sangat nak ambil wudhuk. Dah la dengan baju berlapis-lapis. Stokin. Tudung. 15 minit je dalam tandas. Kadang bila dah ada wudhuk, nak terkucil pulak. Aaaargghh.. memang la kena pergi tandas. Dah tu kat sana tandas awam mana ada air panas. Ketar tangan bila kena air. Sejuk sampai ke tulang.

Saya bukan mengeluh ya. Nak cerita kat korang musim sejuk kat sana macamana. 

Ketiga : Baju sejuk.

Bergantung pada cuaca. Datang Turkey masa musim selain panas tak perlu bawa baju sejuk. Ketebalan dan berapa lapis bergantung pada musim. Masa musim sejuk semestinya berlapis jugak kena pakai. Lebih lagi pada mereka yang tak biasa. Musim bunga rasanya cukup dengan sweater atau cardigan saja. Kadang dekat sana, tak sejuk. Angin kuat sampai tudung melayang. 

Keempat : Masakan.

Hari-hari makan roti. Saya suka makan roti. Kat mana-mana ada je pakcik jual roti. ;)

Setiap hidangan MESTI ada roti. Tak kira sebagai menu utama atau sampingan. Roti dorang sedap! Lagi-lagi bila dapat makan dengan sup. Saya layan je walaupun ramai ahli rombongan lain yang tak boleh terima. Kesian kat dorang.

Mesti pakcik dan makcik duk terbayang asam pedas.. masak lemak cili padi. Tak pun kari. hikkss.

Kelima : apa lagi eh? Oh ya. Bahasa.

Kebanyakan orang Turkey tidak tahu berbahasa inggeris. Melainkan mereka yang bekerja dengan sektor pelancongan. Memang susah betul nak berkomunikasi dengan mereka.

Pengalaman saya masa nak beli adaptor ( kat sana pakai adaptor 2 pin) kat kedai sana. Jenuh nak fahamkan dorang dengan apa yang saya cakap. Dorang langsung tak faham. Last saya dapat idea. Saya minta penyambut tetamu hotel tulis atas kertas perkataan adaptor dalam bahasa Turkey. Sampai kedai tinggal nak tunjuk je kertas. Then dorang pun bagi apa yang saya nak. Phewww.. LEGA!

Nak lagi dasyatkan... pekerja hotel bahagian dapur, bila saya minta air panas pun dorang tak tahu 'hot water' tu apa. Memang macam itik dengan ayam je bercakap. Langsung tak faham. Ggrr..!

Walaupun tak faham dan tak boleh nak berbahasa. Bila jumpa mereka di masjid, bila bersalam dengan yang lebih tua. Ada tu siap kena cium tangan. Malu saya. Terbalik! Patut saya cium tangan mereka. :)

Saya pun sebenarnya tak tahu nak share apa lagi. Saya bukan pergi sendiri. Ikut rombongan.  Saya juga tak kisah makan apa. Pentingnya Halal. Tak kisah tidur di mana. Asal boleh hilangkan letih dan solat.

Apa yang penting... manfaatkan peluang yang ada. Enjoy budaya, makanan dan cara hidup mereka. Best sangat!

Saya sendiri tak puas jalan-jalan kat sana. Nak pegi lagi. Berdua. ----> hehe. Gatal. :)








Bagi yang berminat untuk mengetahui tentang Turkey. Boleh baca di blog Mamasya. Cerita dia lebih detail dan banyak gambar. Saya tengok pun jeles. Memang rasa nak pergi lagi.

Abaikan intro yang seperti dah ketinggalan zaman. Saya mula menulis hari Ahad. Publish hari Rabu. Bijak kan! ;P





Sunday, March 25, 2012

Rahmat dari-Nya.

Assalamualaikum wbt.







" Pada Kaabah itu ada 120 rahmat kepada pengunjungnya pada setiap hari, iaitu 60 untuk tawaf, 40 untuk solat sunat dan 20 untuk melihat Kaabah."

Friday, March 9, 2012

Umrah Ziarah - Selepas 1 minggu...

Assalamualaikum wbt.





























Alhamdulillah... selesai umrah ziarah kami pada 15 Feb - 1 Mac 2012.

KL - Singapura - Istanbul - Bursa - Madinah - Mekah - Singapura -KL.

Begitulah perjalanan kami selama 16 hari.

Pengalaman yang sangat bermakna. Moga ada jemputan lagi dariNya untuk diri ini.

Dalam kepala macam-macam nak cerita. Nak kongsi. Sekadar bermain di kepala. :)

Jadi saya kongsikan dulu sedikit gambar sepanjang 16 hari musafir kami ke 3 buah negara ini.

Insyaallah, ada kesempatan saya akan bercerita lagi.

Sekarang... bila baca buku berkaitan Turkey dah dapat gambaran di kepala. 

'Oh.. Topkapi Palace macam ni.'

Saya dah jumpa bot yang jual fish fillet dengan roti. 'Balik ekmek boat'.

Saya dah sembang dengan lelaki turkey yang handsome. haha. ;)

Di Makkah dan Madina... saya rindu untuk beriktikaf di sana. Terbayang kaabah di hadapan mata. Terasa - rasa lagi kesesakan di raudhah. 

Subhanallah.. Alhamdulillah. Syukur padaNya di atas kesempatan yang diberikan. 

Saya sudah menjadi sebahagian daripada mereka yang sentiasa merindukan Haramain. Rindu panas dan debu-debu Haramain yang berterbangan. Rindu sesak-sesak ketika tawaf dan saie. Rindu semua lah!

Sekarang pun ketika solat terasa-rasa lagi seperti ada Kaabah di hadapan mata. Kemudian lepas solat menjengukkan kepala melihat berapa bilangan jenazah yang disolatkan hari ini.

Ya Allah... sesak dada ini dengan rindu yang menggunung.!