Wednesday, August 31, 2011

Sedia menerima tempahan. Kek Karamel.

Assalamualaikum wbt.








Kek Karamel 

Harga : RM35

Pick up point : PV 12, Danau Kota Setapak.

( bersebelahan dengan Platinum Walk. Bangunan yang sama dengan Nice Coffee Station. Sebaris dengan Restoran Deen Nasi Kandar dan Mymydin)


Untuk tempahan sila hubungi saya di talian 013-2588230 

Terima kasih.





Monday, August 29, 2011

Eid Mubarak. Raya Pertama di Malaysia.

Assalamualaikum wbt.

Allahu akbar. Allahu akbar... Allahu akbar...

La ilaha illa Allahu wa Allahu akbar...

Ya. Saya rindu takbir raya di Malaysia yang lebih mendayu. Ada rasa sayu. Banding dengan takbir di London yang nadanya lebih bersemangat tanda meraikan kemenangan kita selepas sebulan menjalani ibadah Ramadhan. Dua-dua ada kelebihan masing-masing. Yang penting kita. Adakah kita keluar dari Madrasah Ramadhan sebagai seorang hamba yang bertaqwa. 

Eid Mubarak..!!!

Kullu A'm Wa Antum Bi Khair
( Semoga kamu dalam kebaikan sepanjang tahun ini. Insyaallah )

Ingatan untuk saya dan kalian juga :

Jaga aurat. Jaga aurat. Jaga aurat. Bergaya tak salah. Biarlah sederhana. 

Masa inilah kesempatan untuk kita bersalaman.  Jangan main salam saja. Jaga-jaga ya. 

Ok. Rasa-rasa dah puas makan lauk raya. Jom sama-sama kita amalkan yang sunat. 

Puasa enam. 

Moga kita dapat manfaat bersama. 

Selamat Hari Raya Aidilfitri. 

Dalam sebuah riwayat hadis, berkata Wathilah :
“Aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya dan aku katakan kepada Baginda:

 Taqabbalallahu minna wanimkum 
(semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu), 

lalu Baginda menjawab: ‘Ya,taqabbalallahu minna wa minkum’.

(Riwayat al-Baihaqi)






Sunday, August 28, 2011

Hadiah Aidilfitri daripada jiran Cina depan rumah.

Assalamualaikum wbt.

Salam Ramadhan buat semua.

Tadi petang tergesa-gesa pergi kedai bakeri. Ambik tu. Ambik ini. Capai yang sana, capai yang sini. Kira satu sampai lima kotak dan papan kek terus masuk bakul. Letak dekat kaunter semuanya berharga RM150. Waaaa... beli barang sekarang tak pernah yang tak lebih dari RM100. Memang tak boleh (blaah) nak bawak RM50 saja. Dalam hati nak itu nak ini. Dalam tangan ada RM50. Nampak gaya tengok aje. Inilah harga sebuah kehidupan pada hari ini. 

Dalam perjalanan nak balik, mesti lalu Bazar Ramadhan Danau Kota. Lalu saja. Setakat ni alhamdulillah tak pernah beli apa-apa di bazar ramadhan. Pernah sekali kawan saya belikan air soya cincau. Tak sempat untuk minum semasa berbuka. Dah lewat malam baru saya berkesempatan untuk nikmati. Tuang dalam cawan, dengan lafaz bismillah saya teguk sekali. Lama air soya duduk dalam mulut sambil saya berfikir mencari apa yang tak kena dengan air yang diminum. Kenapa ada rasa susu tepung. Ada rasa lendir yang terus menoktahkan niat untuk menelan. Air dah basi. 

Menangis dalam diam sekejap mengenangkan betapa teringinnya saya mahu minum air soya tersebut. Langsung tak boleh diminum. Membazir saja. 

Itu satu. Ada satu masa, saya perhatikan dah dua kali perkara yang sama berlaku. Pertama kali ketika jam menunjukkan pukul 3.00 petang. Kali kedua hari ini, ketika jam 4.30 petang. Tak jauh pun beza masa kejadian. Seorang peniaga yang sedang bersiap sedia untuk memulakan perniagaan. Ada bungkusan air digantung pada hal masa berbuka masih jauh lagi belum tiba.

Terkejut. Masa kejadian kali pertama saya masih boleh berbaik sangka. Mungkin bukan air minuman. Entah air basuh tangan atau bungkusan hari semalam.

Hari ini bila kali kedua saya melihat bungkusan yang sama. Cuma air saja yang berubah. Saya beristigfar dalam hati. Sedih. Terdetik dalam hati,' Di manakah keberkatan hasil berniaga jika peniaganya tidak berpuasa?' ~Hanya Allah yang tahu jawapan pada persoalan saya ini.~

Haaiii... panjang benar jalan yang saya lalu hari ni ya. Mananya cerita hadiah hari raya. :)

Cerita hadiah raya saya pendek saja. Saya panjangkan dengan cerita lain. Moga ada pengajaran untuk difikirkan bersama.

Dah sampai lorong nak masuk rumah, dari jauh saya nampak pintu pagar rumah terbuka. Sudaahh..! Saya lupa nak cangkuk mangga ke dekat pagar? Makin dekat makin perlahan langkah saya. Mula fikir macam-macam. Pencuri ke? Almaklumlah raya ni makin banyak kes kecurian berlaku.

Tiba-tiba ada satu kepala terjenguk dari dalam pagar. Cehhh... adik lelaki saya rupanya. Kesian. Sapa suruh tak buat kunci pendua. Kan dah kena tunggu. ;P

Sambil duk pulas kunci, jiran depan rumah duk senyum macam nak jumpa saya. "Eh. cina ni nak apa?" Saya macam buat tak endah je. Tak lama keluar sorang lagi bawa paper bag kat tangan. Saya pun pandang je dorang sambil menunggu. Apa lah depa ni nak minta tolong. Kot nak minta tolong sampaikan barang pada kawan mereka ke. Ye lah. Kot depa tak dak kat rumah. Nanti kawan dia tekan loceng rumah saya minta barang. 

Tak lama lepas tu saya pergi dekat pagar rumah mereka. Selangkah saja. "Selamat Hari Raya". Sambil menghulurkan beg kertas. Saya senyum. Terkedu kejap nak balas apa. Takkan nak ucap balas selamat hari raya kan. Untung otak cepat bertindak memberi isyarat pada mulut suruh ucap terima kasih. 

Kata yang lelaki, ' Halal. Awak boleh makan. Takde bahan pengawet. Kek tahan 2 minggu.' Saya senyum lagi sambil ucap terima kasih lagi. 

Saya masuk rumah sambil senyum sengih dalam hati. Malu nak buka kotak depan adik. Biarkan dulu. Saya tolong adik angkat barang nak bawa balik rumah Keramat. 

Selesai semua. Baru saya buka kotak yang ada dalam beg kertas. Suspen. Suspen. Apa la ada dalam kotak tu ye. Siap ada reben hijau lagi.

Satu... Dua... Tigaaaaaa...!! 


Euwwww... seybok je biskut raya tu nak masuk. Buat muka simpati kat saya tadi. Katanya. 'Saya nak bergambar jugak.' 


Sambil duduk tenung kotak hadiah ni, sempat lagi saya berfikir. 'Macam ni ye rasa bila dapat hadiah.' Seronok. Entah la. Sebelum ni rasa juga. Kali ni lebih terasa sebab orang yang bagi ni bukan sama bangsa. Tak sama agama. Apa yang saya dapat katakan, 'Inilah nikmat memberi tanpa mengira siapa.' Alhamdulillah. 


Moist Chocolate Chips Cake. Telan liur sekejap. Aduiii. Menggoda betul kek ni. Tak sabar tunggu masa berbuka. Mula-mula bila sekali tengok. Dah simpan niat nak hidang masa raya. Dua kali tengok, nak rasa sikit aci tak? Tiga kali tengok, potonglah sikit. Tak tahan la tengok. 


Percaya tak. Saya makan kek ni je buka puasa tadi. Saya tak masak. Takde apa nak makan. Buah untuk pavlova banyak. Saya yang dah jemu. Rasa malas nak fikir makan apa membawa kepada kesimplean menu berbuka puasa hari ni. Kek coklat sedap binti lembab dan air Neslo.

Alhamdulillah... sedap. Sangat sedap. Cukup rasa. Lembut. Lembab. Rasa coklat dan chips yang tak tahu lah nak gambar macamana. Sampai saya kata lagi. Macam ni ya rasa bila orang bagi makanan kat kita. Rasa dia dua kali ganda sedap sebab ada ikhlas di dalamnya. Ada rasa sayang sesama manusia. 

Cukup. Dah dapat rasa. Alhamdulillah. Bakinya saya mahu simpan untuk dikongsi dengan adik beradik, jiran dan juga sesiapa yang datang bertandang ke rumah. 

Oh ya... Satu lagi yang penting untuk saya jadikan pengajaran dan pembakar semangat. Lepas rasa kek yang sedap ni, saya jadi semakin bersemangat untuk menghasilkan kek coklat sendiri yang rasanya sama (atau hampir sama) dengan yang saya makan ni. Insyaallah. 

Ramadhan tinggal lagi sehari berbaki. Jangan leka dengan kegembiraan untuk menyambut Syawal sedangkan ramadhan belum berakhir lagi. Berpada-padalah wahai sahabat. Mari kita lipat gandakan amalan sementara masih ada masa. 

Malam terakhir di bulan Ramadhan. Manfaatkan. Tak tentu lagi kita dapat berjumpa dengan ramadhan yang akan datang.

Wallahu a'lam.








Thursday, August 25, 2011

PadaMu kekasih...

Assalamualaikum wbt.

Salam Ramadhan pada hari yang ke 25.

Tadi lepas solat Subuh di surau berjemaah, sambil menonton MHI di tv, saya baca status terkini kawan-kawan di FB. Saya tersentuh dengan status dari seorang kenalan jauh. 

Statusnya berbunyi begini...

Aku lihat RAMADAN dari kejauhan.... lalu ku sapa ia, "Hendak kemana?" Dengan lembut ia berkata, "Aku harus pergi, mungkin lama... Tolong sampaikan pesanku untuk orang bernama "MUKMIN". Syawal akan tiba sebentar lagi.... :) Ajaklah SABAR untuk menemani hari-hari dukanya, Peluklah ISTIQOMAH saat dia kelelahan dalam perjalanan taqwa.

Phewww... terus hati yang sedia sebak menjadi bertambah sebaknya. Allah. Allah. Allahu akbar. Rasa sedih mahu meninggalkan kekasih yang bernama Ramadhan untuk menyambut kedatangan kekasih yang bernama Syawal. 

Entah kita dapat tidak berjumpa dengan Ramadhan tahun hadapan.

Allah...


 

Wednesday, August 24, 2011

Patriotik.

Assalamualaikum wbt.










Dah kibar bendera Malaysia..? :)



Moga bermanfaat.

Assalamualaikum wbt.

Selingan sementara menanti berbuka.

Terima kasih pada yang sudi datang blog yang tak seberapa ni. Moga perkongsian ilmu dalam dunia masakan dapat menjadi saham akhirat (ilmu yang bermanfaat) untuk saya. Insyaallah.


Terima kasih pada mak yang mengajak (baca: menyuruh) saya masuk dapur sejak kecil. Alhamdulillah, sekarang dah dewasa bila memasak, banyak petua dan ilmu yang diperturunkan bila kami duduk makan bersama. Nak lagi best, mak menjadi pengkritik dan pengomen tegar setiap kali mencuba masakan saya. Kalau ada yang kurang, mak akan bagitahu macamana nak bagi sedap. 

Biasanya kalau makan luar, selera kami sama. Bila rasa makanan tu sedap. Mak pun akan kata sedap. Tak sedap, mak pun sama rasa tak sedap. hehe. 

Selamat berbuka untuk semua.



Ribena... Kelas kau Jah...!

Assalamualaikum wbt.

Selingan Ramadhan...

Akibat terpengaruh dengan iklan. Puasa tahun ni hari-hari minum Ribena. Lepas tengok Jom Berbuka Shahira dengan Ana Raffali. Terus esoknya beli buah longan dalam tin. Saya tambah aiskrim soda sebab dah sedia ada bekalan di rumah. Jadilah Ribena Longan binti Aiskrim Soda. 


Amacam kelas tak bibik..?

Mestilaahhh... ;P



Tuesday, August 23, 2011

Lagu Terbaik Dunia. Asmaul Husna.

Assalamualaikum wbt.

Salam Ramadhan hari ke 23.

Tinggal 6 hari lagi ramadhan bakal berlalu. Jangan cakap banyak. Meh kita gunakan sebaik-baiknya untuk TOP UP amalan kita. Cara macamana. Kita sendiri fikirkan. Pentingnya sentiasa perbaiki niat untuk melakukan kebaikan. Jangan takat niat. Mesti buat. Insyaallah kan. 

Tanya semua orang. Siapa yang tak nak masuk syurga. Cara dan bagaimana saja yang membezakan jalan kita untuk ke sana. Jalan lurus atau jalan yang sentiasa bersimpang siur. 

Saya nak kongsikan dengan anda lagu Asma Ul Husna yang diberi nafas baru oleh Dr Ary Ginanjar Agustin. Beliau seorang pakar motivasi dari Indonesia. Juga merupakan pengasas ESQ Leadership Center. 


Selain dari versi Dato' Siti Nurhaliza. Saya rasa versi ini juga mampu menyentuh hati yang mendengar. Lagi-lagi bila didengar dengan rasa ingin muhasabah diri. Terasa banyaknya kekurangan diri, dosa dan kelalaian yang dilakukan setiap hari. Astagfirullah. Hati tak henti-henti mahukan perubahan. Diberikan kesempatan dan umur yang panjang untuk melakukan sesuatu yang lebih baik untuk hari-hari mendatang.

Bila datang esok hari baru. Masih lagi lalai dan niat berlalu sahaja tanpa amal. Ya Allah ampunilah daku hambaMu yang sentiasa lemah melawan nafsu jahat.

Moga dengan kehadiran Ramadhan yang masih berbaki ini, Allah campakkan rasa untuk menjadi Muslim yang lebih baik. Tak banyak, sikit pun jadilah. Dari sikit tu moga hari ke hari jadi banyak. Insyaallah.

Ya. Jom kita buat. Moga amal kita diterima Allah sebagai bekalan untuk kita meraih syurgaNYA.

Nak masuk syurga tak? :)



Monday, August 22, 2011

Selamat Berbuka Puasa.

Assalamualaikum wbt.


Menu hari ini - Roti Jala.

Alhamdulillah. Dah kenyang.





Sunday, August 21, 2011

Siapa Yang Main Ni...?

Assalamualaikum wbt.










Ce teka.. Ce teka. Sapa yang main..?

~_*





Saturday, August 20, 2011

Lau Kana Bainana Habib - Andai Rasululullah Bersama Kita.

Assalamualaikum wbt.



Selawat dan salam buat Junjungan kita Nabi Muhammad SAW.



Alhamdulillah. Selesai sudah urusniaga hari ini.

Assalamualaikum wbt.

Salam ramadhan di petang hari.

Mesti ramai di kalangan kita (perempuan la kan) yang sedang berkelentung kelentang di dapur. Saya mengambil langkah untuk tidak memasak hari ni. Mahu berehat sedikit sebelum menyambung aktiviti ramadhan di malam hari nanti.

Tadi, jam 6.15 petang selesai penghantaran red velvet dan pavlova untuk Seri. Alhamdulillah. Moga mereka berpuas hati dengan kek yang saya buat. Saat paling berdebar bagi seorang pembuat kek ialah bila menunggu respond dari mereka yang menikmati hasil tangan dari kami. Lebih lagi pembuat kek amatur macam saya. :)


Red Velvet diapit oleh Pavlova.


Less is More.

Ewaaahhh. katakan sajalah tangan kamu masih perlu pergi kelas untuk belajar deco-deco. Tapikan, red velvet ni adalah kek yang tak perlu di touch up banyak-banyak. Rupa tak penting ( alasan nak sedapkan diri yang tak reti deco). Rasa tu yang penting nak..!! Cream cheese topping dia saja. Walllaaahhh. Cream cheese, mascarpone dan whipped cream. Naaahh. Nak tambah berat badan memang sesuai. :)

Biasa bila tak puasa, sambil buat cream cheese topping tangan ni tak reti nak diam. Mesti nak rasa (baca : makan). Bila dah mula tak reti nak berhenti.  Hari ni bila buat masa puasa. Memang tahan sabar betul. Dugaan tengok cream cheese tapi tak leh nak colek. ;P

Oklah. Dah pukul 7.12 petang. Saya nak sediakan air milo untuk berbuka. Pastu tengok-tengoklah makan apa yang ada. 

Selamat berbuka untuk semua.



Keletihan sambil menunggu kek dibakar. Ngantuk.

Assalamualaikum wbt.

Salam ramadhan yang masih berbaki 10 hari.

Sedar tak sedar ( kena sedar diri) dah 20 hari kita menjalani ibadah puasa. Di malam hari menunaikan solat terawikh dan tahajjud bagi merebut pahala yang berkali ganda lebih dari Allah swt. 

Sambil menunggu kek saya masak, saya terfikir satu perkara. Sepanjang ramadhan ni saya sering keletihan selepas maghrib. Habis je solat maghrib mesti terlelap sekejap. 

Sungguh saya terasa malu bila letih bukan kerana beribadat. Letih kerana menyiapkan tempahan kek, tempahan untuk berbuka dan juadah moreh setiap hari. Setiap petang memang tak menang tangan buat sorang-sorang kerja di dapur.

Nak sedapkan hati, saya pujuk diri. "Moga usaha saya untuk mengembirakan mereka di bulan puasa ni diterima Allah sebagai amalan kebajikan juga." 

Jom.. sama-sama kita rebut 10 malam terakhir ramadhan. Walaupun sedikit yang penting nawaitu kita. Ikhlaskan hati. Hanya Allah yang tahu.

Ok... dah. Nak pegi masukkan loyang terakhir kek dalam oven.




Thursday, August 18, 2011

Cerita yang menyentuh hati. Mana Mak?

Assalamualaikum wbt.

Salam Ramadhan...


Jam 6.30 petang.
Mak  berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “ Ada  di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian,

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah  basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya.  Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah  menonton tv.  Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh  yang  asyik membaca majalah.


Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh  menjawab, “Entah.”


Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah  mahu.


Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah  bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar  kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang  sekolah.  Mak  resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak  mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"


Semakin anak-anak  Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .
Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan  memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan  bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan. 

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak  lakukannya.


Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.
Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan  bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus  kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda  faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak  sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."  

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur.  Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira  dan  berlari mendakapnya seperti dulu.


Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan  setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak  masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak  berangkat."

Mak  minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan  balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta.  Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.


Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak  ingat kata-kata ayah , “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun.  Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak p ayah  sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa  menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang  merasa anak-anak   mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.


Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya  Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.


Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak.  Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa  Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah  telepon untuk beritahu mak sakit tenat.


Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?".  Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah  itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini  tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah  hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala  Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah ....bangun." Suara Ateh memanggil ayah . Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"   


Ayah  tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?"  masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa perasaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah . Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnyaSolat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?


Cerita ini dikongsi dari laman FB.



Dah besar, makin keletah dia sekarang.

Assalamualaikum wbt.

Salam ramadhan dan salam Nuzul Al-quran.

Hari ni rasa seronok sangat. Rasanya sangat tu tak cukup nak menggambarkan apa yang saya rasa ketika berbuka tadi. Dah beberapa hari ( boleh juga nak kata dah berapa minggu. bulan pun ya jugak.) saya nak sangat sembang dan menatap wajah anak-anak Kak Siti.

Alhamdulillah. Di hari ramadhan yang ke 17 ini, Allah berikan kesempatan untuk kami bersembang dan menatap wajah mereka yang semakin membesar. Sedikit sebanyak rindu tu terubat la jugak. Terima kasih Ya Allah.

Sebenarnya kami sembang tak la lama sangat. Dalam setengah jam je pun. Dalam masa setengah jam tu, Fatih mengusai suasana. Berdiri di depan pc. Bercerita tentang Ben 10 dan Dr Who dia. Satu yang buat saya terharu, dia masih ingat lagi kek Ben 10 yang saya belikan masa ulangtahun kelahiran dia yang ke 4. 

Melihat tiga beradik perempuan membesar dan semakin matang membuatkan saya berasa sekejapnya masa berlalu. Lagi-lagi Maryam. Dulu dia la yang banyak cakap dan keletah. Sekarang keletahnya dah berpindah ke Fatih. Geram tengok dia tadi. 

Satu ayat Maryam yang buat saya terdiam, "Kak Irma, bila nak datang sini lagi?" Aduhh... tergolek rasa jantung saya sekejap.

Andai tambang ke London tu semurah RM9.90. Rasanya setiap bulan dah pi ziarah depa. ;)











Rindu yang takkan surut. Allah tu kan Maha Pengasih lagi Penyayang. Rasa rindu yang ada terubat bila melihat wajah anak saudara yang sekarang dekat di mata.


Yang tersengih di atas ni pun sekarang, pantang saya telefon mak. Boleh dengar suara dia. " Mak lang. Mak lang." Pastu dengarlah suara dia di hujung telefon. 

Bila tanya mana mak lang, jawab dia " Mak lang buat kek banyak." :)





Wednesday, August 17, 2011

Wordless Wednesday (12)

Assalamualaikum wbt.

Salam Ramadhan.






Beef Lasagna

~Nyum.. Nyum~

;D




Wednesday, August 10, 2011

Wordless Wednesday (11).

Assalamualaikum wbt.



Terima kasih semua..!!

Salam ramadhan.


Saturday, August 6, 2011

Hari ke 6 Ramadhan. Sabtu yang sibuk.

Assalamualaikum wbt.

Salam hari Sabtu bersamaan dengan Ramadhan yang ke 6.

Sekejap je dah nak habis seminggu. Cepat masa berlalu. Tadi saya start buka blog pukul 8 pagi. Tup.. tap.. tupp.. tapp.. sekarang dah hampir pukul 11 pagi.

Aisshh... nak cerita macam-macam pun dah tak sempat. Masa banyak habis di dapur.

Ok. sekarang pun nak bersiap untuk kek karamel yang kedua sambil tunggu tuan punya kek karamel nak ambil kek yang pertama.

Petang nak siapkan murtabak kulit popia sebanyak 50 keping dengan ayam berempah. Alhamdulillah ada emak nak tolong buatkan nasi lemak. Kurang sikit mengelupur di dapur.

Ni pun dah tergendala menulis. Hantar kek karamel pada pelanggan. Beli barang di Mymydin. Sekarang nak siapkan pavlova. Jap lagi nak hantar. Pstu buat kek karamel lagi. Nak beli kotak yang tak sedar dah habis. Petang buat murtabak. Yadaa.. yadaaa...

Aaamboiiii.. sibuknya diaaaa...!!!! ;D

Ok. Jumpa lagi.

Salam ramadhan.

Thursday, August 4, 2011

Jawapan Trivia Ramadhan.

Assalamualaikum wbt.

Salam Ramadhan yang dah masuk hari ke empat. Bagaimana prestasi Ramadhan kita ya? Agak-agak minggu pertama dah boleh dapat markah tinggi tak? Moga-moga keampunan Allah ada untuk kita sebagai hambaNYA.

Cakap orang. Saya ni pun masih duk terkejar-kejar nak membahagikan masa dengan baik. Ramadhan pun nak kejar. Rezeki pun nak kena cari. Alhamdulillah, walaupun kepenatan. Masih juga mencuri masa yang cemburu untuk tadarus al-quran. Kadang mata dah terpejam, tangan duk pegang al-quran lagi.

Saya duk teringat-teringat soalan Trivia Ramadhan yang lepas. Jawapan tak bagi-bagi lagi. Tergantung tak berjawab kan. Meh, saya nak lepaskan jawapan Trivia Ramadhan. Moga manfaatnya dapat dikongsi bersama.

Jawapan pada tulisan yang berwarna merah ya.

1-  Apakah dia :
                         Sebaik-baik siang? Siang hari Arafah
                         Sebaik-baik malam? Malam Lailatul Qadar
                         Sebaik-baik hari dalam seminggu? Hari Jumaat
                         Sebaik-baik bulan dalam setahun? Bulan Ramadhan


2-  Kenapakah hari terakhir dalam bulan Syaaban dinamakan "hari syak"?


     Ini kerana syak sama ada hari itu hari terakhir bulan Syaaban (30 Syaaban) atau hari pertama bulan Ramadhan (1 Ramadhan).



3-  Bilakah kali pertama umat Islam berpuasa?



     Pada hari Ahad 1 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah bersamaan 26 Febuari 624 Masihi. Ada pendapat lain yang menyatakan umat islam mula berpuasa pada 2 Syaaban tahun ke-2 Hijrah. Wallahua'lam. Ditetapkan pada 10 Syaaban tahun ke-2 Hijrah. 

4-  Berapa kali Rasulullah s.a.w sempat berpuasa pada bulan Ramadhan sepanjang hayat baginda?


     9 kali. Rasulullah s.aw. wafat pada tahun ke-10 Hijrah dan ibadah puasa pada bulan Ramadhan pula disyariatkan pada tahun ke-2 Hijrah. (Rujuk al-sahih, al-Tahrir wan al-Tanwir).

5-  Apakah yang dinamakan puasa Nabi Daud?


     Puasa yang diamalkan oleh Nabi Daud iatu berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari atau berpuasa secara berselang sehari.

Saya kongsi lima jawapan dulu ya. Saya nak ke Mymydin cari barang untuk memasak. Hari ni  orang order Kuew Tiaw Kerang dan Nasi Tomato. Pagi tadi pergi barang tak sampai lagi. Harap-harap sekarang dah ada.

Moga jumpa lagi dikesempatan yang lain.



Monday, August 1, 2011

Penulis Novel Meninggal Dunia.

Assalamualaikum wbt.

Saya baru dapat berita dari status penulis novel Amaruszati Noor Rahim :

Al fatihah untuk novelis kesayangan ramai Liana Afiera Malik, antara novelnya Bukan Puteri Lindungan Bulan, juga untuk isteri penulis pahang Dato' Mohd Mansor Abdullah, Datin Amelia Hashim yang kembali ke rahmatullah. Dari tanah kita dijadikan kepada tanah kita dikembalikan. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang2 yang beriman & beramal soleh. Amin.

Terkejut. Apa pun mari kita sama-sama sedekahkan Al-fatihah buat arwah. Moga rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman. Al-fatihah. 



Sumber sini


Trivia Ramadhan.

Assalamualaikum wbt.

Mengikut kamus Dewan, trivia bermaksud: "Pelbagai fakta atau maklumat yang kurang penting tetapi menarik tentang subjek tertentu, terutamanya digunakan dalam sesuatu permainan atau kuiz."

Selalunya persoalan kecil dan remeh terlepas pandang daripada perhatian kita. namun, fakta-fakta tersebut tidak kurang penting dan menarik untuk menambah ilmu, di samping menajamkan minda.

Jom semak pengetahuan am kita dengan menjawab soalan di bawah. Nampak mudah. Ada tu lama juga saya berfikir nak dapatkan jawapan. Anda bagaimana..?




1-  Apakah dia :
                         Sebaik-baik siang?
                         Sebaik-baik malam?
                         Sebaik-baik hari dalam seminggu?
                         Sebaik-baik bulan dalam setahun?

2-  Kenapakah hari terakhir dalam bulan Syaaban dinamakan "hari syak"?

3-  Bilakah kali pertama umat Islam berpuasa?

4-  Berapa kali Rasulullah s.a.w sempat berpuasa pada bulan Ramadhan sepanjang hayat baginda?

5-  Apakah yang dinamakan puasa Nabi Daud?

6-  Makanan ahli syurga yang disenaraikan dalam al-quran?

7-  Minuman ahli syurga yang disenaraikan dalam al-quran?

8-  Dalam surah apakah perkataan "ramadhan" disebut dalam al-quran?

9-  Berapa kalikah diulang perkataan "puasa" dalam al-quran?

10- Apakah makanan yang berkat?

Soalan-soala trivia ni saya perolehi dari majalah Solusi edisi Ramadhan. Sapa dah baca? Cer angkat tangan nak kira. :)

Tunguuu jawapan dari saya. Nanti saya kongsi ye.

Salam Ramadhan di hari pertama. Jom... perbanyakkan amalan sunat.