Wednesday, November 26, 2008

Push Chair Idaman

Assalamualaikum..lama sudah saya tak mencoretkan sesuatu di sini. Sambil mendengar lagu ‘aku bukan superstar’ yang diketahui dari blog Saiful Nang, membuatkan saya tersenyum sendiri. Bukan senyum kot..ada kat part2 tertentu saya sengih. Ubat terapi diri bagi orang yang keseorangan.

Banyak yang nak di cerita, bukan semua boleh di kongsi. Sakitnya bila berjauhan dengan keluarga. Lebih lagi bila mereka dalam kesusahan. Saya tak mampu berada di sisi mereka. Hanya sedikit kata-kata semangat dan kekuatan dari saya saja yang dapat dihulurkan buat mereka. Walaupun bila diingat air mata akan tumpah tak dapat ditahan. Ya Allah kuatkanlah hamba ini dalam menghadapi ujianmu lagi. Allahu Akbar, lelah sebentar bila mengingatkannya. Ianya berulang kembali..

stokke xplory warna biru
Ok, CERIA.. CERIA.... saya nak cerita pasal pushchair @ stroller @ pram @ kereta tolak @ kereta sorong. ikut la korang panggil apa. 2-3 hari ni kawan sekolah saya Ali minta tolong usyarkan stroller untuk anak dia yang bakal lahir. Dalam wishlist saya pun antara barang yang nak sangat beli bila balik Malaysia ialah stroller. Bukan untuk seorang. tapi untuk twins. Hati kuat mengatakan saya akan dikurniakan bayi kembar.. Err, INI BUKAN ANGAN-ANGAN KE? kahkahkah. Lagi-lagi anak saudara pun kembar. Yang gugur pun dijangka kembar. Baka kembar kuat agaknya. Eh, awak pun ada adik perempuan kembar kan. Banyak la gen kembar kita kan. hehe. Moga Allah permudahkan hajat ini..ameen..

Ali minta carikan maxi cosi. Sebelum ni saya nampak Maclaren je. Sebab hari-hari dok usung Fateh. Bila dah selalu buka internet ni saya jumpa sorang kawan yang guna stokke xplory. Saya cuba cari kat internet, bila tengok harga baru- Mak aiii.. £600++.. tapi bila buka ebay, 2nd hand boleh la dapat £350++. Saya cuba buka youtube kot2 ada video. Memang ada. Bila tengok dorang promote SX ni, memang sesiapa pun akan teruja. Lagi ditambah dengan body dia yang memang CUN. tapi bila tengok harga..mahu boleh buat dp keta.

Then bila Ali minta carikan maxi cosi. Saya pun try cari kat ebay..ok juga.. tapi saya dah jatuh hati dengan SX.


Maxi Cosi

Bila cerita pasal berbaloinya guna stroller nie. Memang banyak beza dengan Malaysia. Sini stroller boleh naik bus. tube. train. tram. Kebanyakkan parents kat sini memang usung stroller ke mana saja. Sampaikan anak yang dah besar pun naik stroller. Kat Malaysia nak naik bus, lepas kat pintu je la. tapi bila nak shopping. ok sangat la. Bukan setakat boleh bawak anak..tapi bawak sekali barang2 yg di shopping. kan. kaaan. Sambil mengenyit mata.

Di sini kalau guna stroller naik bas, had muatan bagi sebuah bas boleh muat 2 stroller je. Yang selebih kena lipat atau tunggu bas lain. Ada juga pemandu yang baik hati bagi je 4 stroller masuk sekaligus. Kena kalau waktu nak hantar atau ambil anak sekolah. Kalau kena lipat pun tak kisah. Sebab pemandu dia akan tunggu sampai kita duduk. Baru dia jalan. Kadang tu orang kat sini bila nampak kita kena lipat stroller dorang akan bagi bantuan. Angkat anak kita atau stroller. Yang baik kita jadikan contoh. Tolong menolong amalan mulia. Sambil tersenyum.


stokke xplory warna hijau
Pengalaman saya menggunakan stroller kat sini banyak. Masa awal-awal dulu. Fateh kecil lagi, tak boleh berjalan atau berdiri. Saya kena tunggu bas sampai 4 biji baru boleh naik. Nasib bas kat sini paling lama 15 minit ja. Kalau Malaysia jenuh anak kelaparan. Tu pun kalau kena ambil dorang memang saya siapkan bekal. Kalau tak menyungut lapar. sian plak. Sementara nak tunggu bas, kitorang berkelah dulu kat perhetian bas. Sampai la boleh naik stroller. Tapi sekarang sejak Fateh dah boleh jalan. Saya redah je bas. Tak kira penuh ke. Berdiri ke. Saya akan lipat stroller. Sampai satu tahap Fateh kena duduk kat tempat orang letak barang. Nasib dia tak menangis. Yang lain apa lagi. Kena berdiri la sampai rumah. Kadang-kadang rasa seronok. Boleh ajar anak ni susah sikit.
Ada tu bila seminggu naik bas pemandu yang sama. Masa hari pertama muka dia masam dan marah-marah bila saya nak lipat stroller. Tak pa lah. Dalam hati mungkin dia penat kot. Bila cerita kat kak ct. kak ct kata mungkin dia gaduh dengan husband dia. Hari ke-2 pulak dia senyum bila nampak aku. dia tak kisah bila saya bagi isyarat nak lipat stroller. Bila cerita dengan kak ct. kak ct kata hari nie husband dia bagi bunga kot. nak pujuk. Hari ketiga pula,dia bagi isyarat sorry. tak boleh naik sebab dah ada 2 stroller. Siap senyum lagi dengan saya. Nie saya pulak buat cerita. saya kata kat kak ct, hari nie suami dia nak ajak dia makan malam kat luar kot.. kah..kah..kah.. gelak besar kak ct dengar cerita saya.
Ada lagi cerita. Ada seorang pemandu nie kalau saya nak turun bas. Bila saya ucap thank you..siap kenyit mata lagi.. Amboi, tak nampak ka saya bawak anak 2 orang.. hehe.. Lagi best yang sorang lagi juga. Dah hari-hari naik bas dia. kalau saya nak naik dan turun dia akan rendahkan bas supaya senang nak naik dan turun. Ada sekali tue, dalam ramai-ramai yang tahan. Patutnya dia berhenti la depan orang yang tahan. Tapi sebab nampak saya. Dia berhenti depan saya. hehe. Perasan la kejap. ahaa.
Ni cerita siang tadi. Masa nak balik dari hantar maryam. Ada sorang mamat nie bawak anjing.adus. Saya dah cuak nie. Bila dia naik saya himpit badan kat tengah ruang antara 2 stroller yang ada. Kononnya nak elak la dari terkena anjing dia. Tapi tengok-tengok dia berdiri tepi saya. Aduhai, dalam hati Allah je yang tahu. Alhamdulillah pemandu tue suruh dia ke belakang. Duduk kat belakang. Saya dengar la dia menyungut. Katanya anjing dia bukan gigit orang. Angkat bahu tanda tak tahu. Entah la...

Maxi Cosi kaler HITAM

Ok la. Banyak dah saya menaip. Memang banyak lagi cerita. Nanti la. Bulan depan saya cuti sebulan. Kak ct sekeluarga nak balik Malaysia. Masa tue nanti kalau ada kesempatan akan ceritakan balik pengalaman saya di sini.

Insyaallah jumpa lagi.

Jaga diri Jaga iman ;D


Tuesday, November 25, 2008

Ku Mencintaimu

1] Orang yang mencintai kamu tidak pernah mampu memberikan alasan kenapa dia mencintai kamu. Yang dia tahu di hati dan matanya hanya ada kamu satu-satunya.

2] Walaupun kamu sudah memiliki teman istimewa atau kekasih, dia tidak peduli! Baginya yang penting kamu bahagia dan kamu tetap menjadi impiannya.

3] Orang yang mencintai kamu selalu menerima kamu apa adanya, di hati dan matanya kamu selalu yang tercantik walaupun mungkin kamu merasa berat badan kamu sudah bertambah.

4] Orang yang mencintai kamu selalu ingin tahu tentang apa saja yang kamu lalui sepanjang hari ini, dia ingin tahu kegiatan kamu.

5] Orang yang mencintai kamu akan mengirimkan SMS seperti ’selamat pagi’, ’selamat hari minggu’, ’selamat tidur’, ‘take care’, dan lain-lain lagi, walaupun kamu tidak membalas SMS-nya, kerana dengan kiriman SMS itu lah dia menyatakan cintanya, menyatakan dalam cara yang berbeza, bukan “aku CINTA padamu”, tapi berselindung ayat selain kata cinta itu.

6] Jika kamu menyambut hari jadi dan kamu tidak mengundangnya ke majlis yang kamu adakan, setidak-tidaknya dia akan menelefon untuk mengucapkan selamat atau mengirim SMS.

7] Orang yang mencintai kamu akan selalu mengingat setiap kejadian yang dia lalui bersama kamu, bahkan mungkin kejadian yang kamu sendiri sudah melupakannya, kerana saat itu ialah sesuatu yang berharga untuknya. Dan saat itu, matanya pasti berkaca. Kerana saat bersamamu itu tidak boleh berulang selalu.

8] Orang yang mencintai kamu selalu mengingati setiap kata-kata yang kamu ucapkan, bahkan mungkin kata-kata yang kamu sendiri lupa pernah mengungkapkannya. kerana dia menyematkan kata-katamu di hatinya, berapa banyak kata-kata penuh harapan yang kau tuturkan padanya, dan akhirnya kau musnahkan? pasti kau lupa, tetapi bukan orang yang mencintai kamu.

9] Orang yang mencintai kamu akan belajar menggemari lagu-lagu kegemaran kamu, bahkan mungkin meminjam CD milik kamu, kerana dia ingin tahu apa kegemaran kamu - kesukaan kamu kesukaannya juga, walaupun sukar meminati kesukaan kamu, tapi akhirnya da berjaya.

10] Kalau kali terakhir kalian bertemu kamu mungkin sedang selesema, atau batuk-batuk, dia akan sentiasa mengirim SMS atau menelefon untuk bertanya keadaan kamu - kerana dia bimbangkan tentang kamu, peduli tentang kamu.

11] Jika kamu mengatakan akan menghadapi ujian, dia akan menanyakan bila ujian itu berlangsung, dan saat harinya tiba dia akan mengirimkan SMS ‘good luck’ untuk memberi semangat kepada kamu.

12] Orang yang mencintai kamu akan memberikan suatu barang miliknya yang mungkin buat kamu itu ialah sesuatu yang biasa, tetapi baginya barang itu sangat istimewa.

13] Orang yang mencintai kamu akan terdiam sesaat, ketika sedang bercakap di telefon dengan kamu, sehingga kamu menjadi bingung. Sebenarnya saat itu dia merasa sangat gugup kerana kamu telah menggegarkan dunianya.

14] Orang yang mencintai kamu selalu ingin berada di dekat kamu dan ingin menghabiskan hari-harinya hanya dengan kamu.

15] Jika suatu saat kamu harus pindah ke daerah lain, dia akan sentiasa memberikan nasihat agar kamu waspada dengan persekitaran yang boleh membawa pengaruh buruk kepada kamu. dan jauh dihatinya dia benar-benar takut kehilangan kamu, pernah dengar ‘jauh dimata, jauh dihati?’

16] Orang yang mencintai kamu bertindak lebih seperti saudara daripada seperti seorang kekasih.

17] Orang yang mencintai kamu sering melakukan hal-hal yang SENGAL seperti menelefon kamu 100 kali dalam masa sehari. Atau mengejutkan kamu di tengah malam dengan mengirim SMS. Sebenarnya ketika itu dia sedang memikirkan kamu.

18] Orang yang mencintai kamu kadang-kadang merindukan kamu dan melakukan hal-hal yang membuat kamu pening kepala. Namun ketika kamu mengatakan tindakannya itu membuat kamu terganggu dia akan minta maaf dan tak akan melakukannya lagi.

19] Jika kamu memintanya untuk mengajarimu sesuatu maka ia akan mengajarimu dengan sabar walaupun kamu mungkin orang yang terbodoh di dunia!. Bahkan dia begitu gembira kerana dapat membantu kamu. Dia tidak pernah mengelak dari menunaikan permintaan kamu walau sesukar mana permintaan mu.

20.Kalau kamu melihat handphone-nya maka nama kamu akan menghiasi sebahagian besar INBOX-nya. Dia masih menyimpan SMS-SMS dari kamu walaupun ia kamu kirim berbulan-bulan atau bertahun-tahun yang lalu. Dia juga menyimpan surat-surat kamu di tempat khas dan segala pemberian kamu menjadi benda-benda berharga buatnya.

21] Dan jika kamu cuba menjauhkan diri daripadanya atau memberi reaksi menolaknya, dia akan menyedarinya dan menghilang dari kehidupan kamu, walaupun hal itu membunuh hatinya.

22] Jika suatu saat kamu merindukannya dan ingin memberinya kesempatan dia akan ada menunggu kamu kerana sebenarnya dia tak pernah mencari orang lain. Dia sentiasa menunggu kamu.

23] Orang yang begitu mencintaimu, tidak pernah memaksa kamu memberinya sebab dan alasan, walaupun hatinya meronta ingin mengetahui, kerana dia tidak mahu kamu terbeban dengan karenahnya. Saat kau pinta dia berlalu, dia pergi tanpa menyalahkan kamu, kerana dia benar-benar mengerti apa itu cinta.

Saturday, November 22, 2008

Gadisku

Gadisku, sesungguhnya kejadianmu terlalu unik, tercipta dari tulang rusuk Adam yang bengkok menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang. Kau umpama sekuntum bunga, harum aromamu bias menarik sang kumbang untuk mendekatimu. Namun…tidak semua bunga senang didekati sang kumbang lantaran duri yang memagari diri, umpama mawar merah, dari jauh sudah terhidu keharumannya. Penahan warnanya yang terserlah indah mengundang kekaguman kepada sang kumbang berfikir beberapa kali untuk mendekatinya.

Gadisku, aku suka sekiranya kau seperti mawar aspirasi setiap mujahadah. Bentengilah kubu dirimu dengan perasaan malu yang bertunjangkan keimanan dan keindahan takwa kepada Allah…hiasilah wajahmu dengan titisan wuduk. Ingatilah ciri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihat kepadannya. Sesuatu yang tertutup itu lebih berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah, umpama sebutir permata yang didedahkan untuk perhatian umum dengan suatu permata yang diletakkan dalam bekas tertutup. Sudah pasti keinginan naluri lebih kuat untuk melihat sesuatu yang tersembunyi, melebihi sesuatu yang terdedah.

Wanita solehah yang patuh dan taat kepada AL-Khaliq dalam melayari liku-liku kehidupannya adalah harapan setiap insan yang bernama Adam. Namun segalanya memerlukan pengorbanan dan mujahadah yang tinggi kerana bertentangan dengan nafsu serakah yang bersarang dalam dirimu. Lebih-lebih lagi dengan title gadis yang engkau miliki, sudah pasti darah mudamu mencabar rasa keimanan yang ada.Namun ingatlah gadisku…sesiapa yang inginkan kebaikan, maka Allah akan memudahkan jalan-jalan baginya ke arah itu. Yang penting gadisku engkau miliki azam, usaha dan istiqamah..

Gadisku, akuilah dirimu menjadi fitnah kepada kebanyakan lelaki. Seandainya pakaian malumu kau tanggalkan dari tubuhmu, maka sudah tidak ada perisai yang dapat membetengimu. Sesungguhnya Nabi ada mengatakan bahaya dirimu “tidak ada suatu fitnah yang lebih besar, yang lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain fitnah yang berpunca dari kaum wanita.” Oleh itu gadisku, setiap langkah dan tindakanmu hendaklah berpaksikan Al-Quran dan As-Sunah. Jangan biarkan sekali sesiapa mengeksploitasikan dirimu untuk kepentingan tertentu. Sesungguhnya Allah Taala telah mengangkat martabatmu setaraf kaum Adam. Kau harapan ummah dalam melahirkan para mujahid dan mujahidah yang bakal menggocang dunia dengan sentuhan lembut tanganmu.

Gadisku, dalam hidupmu engkau ingin menyayangi dan disayangi. Itulah fitrah semulajadi setiap insan, namun ramai antara kaummu yang tewas kerana cinta….bercinta tidak salah, tetapi memuja cinta itu salah. Ini adalah kerana, kerana cinta manusia sanggup menjual agama dan kerana cinta maruah tergadai. Gejala murtad serta keruntuhan moral muda-mudi sebahagian besarnya kerana cinta.

Benarlah sabda Rasulullah membawa maksud,“Sesungguhnya cinta itu buta.” Cinta itu mampu membutakan mata dan hatimu dalam membezakan perkara yang hak dan batil, jika engkau meletakkan cinta itu atas dasar nafsu semata-mata dan bukan kerana Allah swt. Sebelum engkau mendekati cinta, cintailah dirimu terlebih dahulu. Cintailah dirimu yang unik itu dengan mengkaji hakikat kejadianmu yang begitu simbolik. Asal kejadian dari setittis air yang tidak berharga, lalu mengalami proses pembentukkan yang sempurna hasil rencana ALLAH. Semoga perasaan sebegitu dapat melahirkan rasa keagungan dan kehebatan terhadap Allah dan dengan itu akan timbul cinta dan kasihmu terhadap penciptamu.

Gadisku, menyintai Allah dan Rasul melebihi cinta terhadap makhluk adalah cinta yang hakiki dan abadi…

Thursday, November 20, 2008

Sinar Cahaya Ayat Kursi

Dalam sebuah hadis, ada menyebut perihal seekor syaitan yang duduk di atas pintu rumah. Tugasnya ialah untuk menanam keraguan di hati suami terhadap kesetiaan isteri di rumah dan keraguan di hati isteri terhadap kejujuran suami di luar rumah. Sebab itulah Rasulullah tidak akan masuk rumah sehinggalah Baginda mendengar jawaban salam daripada isterinya. Disaat itu syaitan akan lari bersama-sama dengan salam itu.

Hikmat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-hadis:

1) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

2) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah SWT sehingga sembahyang yang lain.

3) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah SWT memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah-rumah disekitarnya.

4) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap2 sembahyang fardhu, Allah SWT menganugerahkan dia setiap hati orang yg bersyukur, setiap perbuatan orang yg benar, pahala nabi2 serta Allah melimpahkan padanya rahmat.

5) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya - mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

6) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.

7) Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya. Dari Abdullah bin ‘Amr r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda, Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat… ”
Wassalam,

“Utamakan SELAMAT dan SIHAT untuk Dunia Mu, Utamakan SHOLAT dan ZAKAT untuk Akhirat Mu”

Subhanallah… Tujuh kalimat Sabda Rasulullah S.A.W ” Barang siapa hafal tujuh kalimat, ia terpandang mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampuni dosa-dosanya walau sebanyak busa/buih laut ”

1. Mengucap Bismillah pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.
2. Mengucap Alhamdulillah pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.
3. Mengucap Astagfirullah jika lidah tersilap perkataan yang tidak patut
4. Mengucap Insya Allah jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.
5. Mengucap La haula wala kuwwata illa billah jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.
6. Mengucap inna lillahi wa inna ilaihi rajiun jika menghadapi dan menerima musibah.
7. Mengucap La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah sepanjang siang malam sehingga tak terpisah dari lidahnya dari tafsir hanafi, mudah- mudahan ingat, walau lambat-lambat mudah- mudahan selalu, walau sambil lalu mudah-mudahan jadi bisa, karena sudah biasa!

Wednesday, November 19, 2008

Menang Lagi


Chantek tak..? malam ni saya menang lagi. Bid trainers. Ni la kerja saya kalau bosan. Buka ebay cari kasut. Sejak duduk sini saya suka cari trainers. Harga tak yah cakap la. Boleh berubah. Lagi-lagi last minit. Kadang-kadang boleh jadi sakit hati. Punya la tunggu sampai 3-4 hari. Takde sapa pun bid. Tapi bila sampai sejam yg terakhir. Punya la berderet. Tak tau nak cakap camana.

Macam kasut nie, saya dah usyar 3 hari. Takde sapa pun yang bid. Saya syok la. Kononnya xyah la lawan bidding dengan sesapa..TAPI..buka je ebay petang tadi dah berderet orang bid. Pastu bila bid bukannya sikit2. Asalnya kasut ni 0.90 pence je. Tapi bila saya buka ebay, dah naik jadi £5. Aduss, sakitnya.sapa la yang bid kasut nie. Hampeh betul. Dalam hati ni tak habis merungut. Bila hati dah berkenan..nak wat camana. Tunggu la malam nie..harap2 tak la tinggi sangat. Saya pun sanggup berjaga. Sedangkan kepala nie dah pening mengantuk..

Pukul 10 harga dah jadi £7. Wargh, gila betul. Takpa, tunggu lagi. Saya tak nak bid awal. Kalau bid awal lagi naik harga dia. SAMA LA DENGAN SEMUA ORANG. APA INGAT DORANG 'BUDUS' KA. hahaha. Pukul 11, saya pun start bid. Saya bubuh £8.50. Tapi bila confirm bid, harga saya direject. Maknanya ada orang bid lagi tinggi dari saya. Nampak gayanya saya kena ambil risiko letak harga yang tinggi. Saya letak £11. Selamat. Saya orang yang paling tinggi bid. Tapi tak leh syok lagi. saya letak lagi bidding £12. Bila tengok masa dah habis. Jadi, setakat tue je la. Bila klik kat description ebay kata saya menang. Yeeaa, dapat juga kasut tue.

Tue la saya kata harga memang tak leh nak cakap. Kena lawan bidding dengan orang yang suka angka besar. Tinggi la harga dia. Atas nasib. Kalau dah suka kena la berani letak harga yang confirm kita menang. Jadi dalam masa 3 hari lagi sampai la kasut saya. Bestnya..

Kalau sesiapa perasan. Kasut ni saya ada beli kat car boot. Untuk budak punya. Tapi saya dah shipping ke Malaysia. Kalau ada dengan saya boleh jadi boria dengan anak. Warrgh, jauhnya berangan..!

Selamat malam..nak mimpi trainers..!

Makan Gaji

Mitos : Anda memilih untuk makan gaji kerana anda rasa ia zon selamat walhal gaji naik hanya sedikit sahaja setiap tahun berbanding keperluan hidup yang sentiasa meningkat…Realiti : Tidak ada zon selamat sebenarnya… bank juga boleh ditutup.

Mitos : Anda merasakan dapat gaji RM1,500 sebulan dah cukup banyak walhal nak beli TV plasma pun tak cukup…Realiti : Orang yang berkerja sendiri RM1,500 hanyalah pendapatan bersih bagi satu projek sahaja..

Mitos : Anda rela naik bas turun bas atau naik kereta di awal pagi dan pulang lewat petang semata-mata untuk makan gaji dan menunaikan tanggungjawab…Realiti : Di negara Barat sistem kerja dari rumah telah lama diamalkan. Mereka bukan sahaja mampu menyiapkan kerja bahkan dapat bersama keluarga…

Mitos : Anda menetapkan pada diri sendiri berapa pendapatan yang patut anda dapat berdasarkan kelayakan yang anda ada semasa memohon kerja..Realiti : Sesiapapun berhak berjaya jika pandai mengambil peluang dan mengenalpasti kebolehan dan kekuatan yang ada pada diri sendiri…

Mitos : Tak pandai berniaga kerana tidak mempunyai bakat..Realiti : Ramai yang berjaya kerana mereka tahu menggunakan bakat yang ada pada orang lain..

Tuesday, November 18, 2008

7 Ciri Positif Orang Yang Berjaya

1. Orang yang positif semakin tercabar, semakin kuatSeseorang yang positif berperibadi kuat seumpama besi waja; semakin dibakar oleh keadaan, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh dan tajam melayari kehidupan. Seseorang yang berperibadi lemah laksana timah atau lilin - apabila terkena api, hancur lebur. Apabila terketuk oleh cabaran; berkecai.

Dr. Mahathir Mohamad banyak memberi contoh yang cemerlang kepada kita semua. Lagi banyak masalah yang dihadapi, lagi bertambah kuat beliau. Seperti gam “exhaust pipe”, semakin kepanasan, semakin keras mencengkam! Orang lain sudah habis dan gawat idea, beliau keluar pula dengan idea yang mengejutkan! Itulah yang amat kita kagumi mengenai YAB Dr. Mahathir. Semakin tercabar, semakin gagah! Dunia amat mengkagumi idea-idea beliau. Dunia amat mengharapkan pandangan-pandangan dan fikiran-fikiran Dr. Mahathir.

2. Orang yang positif melihat peluang dalam kegawatanOrang yang negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Tetapi, orang yang positif dapat melihat peluang keemasan dari kegawatan!

Aristotle Onassis, jutawan Greek, asalnya seorang budak miskin. Ia pindah ke Argentina dari Greek untuk mencari penghidupan baru. Umurnya waktu itu hanya 17 tahun. Lepas perang Dunia Kedua, dunia menghadapi kemelesetan ekonomi. Banyak syarikat bankrap. Tetapi Onassis telah nampak satu peluang. Ia sedar yang tentera Amerika sedang menghadapi masalah kelebihan kapal perang. Kapal-kapal tidak lagi digunakan untuk berperang. Ia telah membeli kapal-kapal kecil tentera Amerika itu dengan harga murah.

Setelah membuat sedikit-sedikit pindaan, kapal-kapal itu telah boleh digunakan. Ia telah gunakanya untuk mengangkut barang-barang dan minyak. Dari sinilah permulaan sebenar bagaimana Onassis menjadi seorang jutawan.

Begitulah kelebihan Onassis. Sedang orang lain berada dalam keadaan negatif, beliau bertindak secara positif.

3. Orang yang positif sentiasa berusaha bersungguh-sungguhPelbagai contoh kejayaan yang menjadi sejarah membuktikan bahawa sikap positiflah yang membawa kejayaan kepada mereka yang mencapai kejayaan besar dalam kehidupan.

Perdana Menteri Inggeris, Harold MacMillan pernah menceritakan tentang nasihat ayahnya, “Mac, kalau kau telah fikir sesuatu perkara itu berguna dibuat, buatlah bersungguh-sungguh”.

Semangat waja Paul Getty juga amat baik sekali kita contohi.

4. Orang yang positif sentiasa mencari jalan memperbaiki diri Peter Drucker, professor ilmu pengurusan di Amerika ada berkata: “Pengurus yang berjaya sentiasa bertanya kepada dirinya apakah yang boleh ia buat, bukan apa yang orang lain patut buat”.

Dengan sikap seperti ini, tiap-tiap orang boleh berjaya malah dapat pula membawa kejayaan kepada penghidupan diri, keluarga dan masyarakatnya. Dengan bersikap positif, tenaga yang biasa digunakan untuk mengecam, memaki hamun, dan memarah-marah itu dapat digunakan untuk perkara-perkara membina.

Dengan bersikap positif, seseorang itu akan mencari jalan untuk membaiki kehidupannya. Bukannya berharap kepada orang lain untuk membaiki kehidupannya. Orang yang positif bertanggungjawab kepada dirinya sendiri - berdikari.

5. Seseorang yang positif tidak menyalahkan keadaanSeseorang yang bersikap positif tidak mengeluh atau mengecam bila ditimpa kemalangan, musibah atau terdapat kekurangan pada dirinya. Sebaliknya ia menggunakan kekurangan-kekurangan itu untuk kebaikan kepada dirinya serta orang lain.

Napoleon, yang kecil dan rendah iaitu 5 kaki 1 inci sahaja, selalu dipermainkan oleh rakan-rakannya di Maktab Tentera tempat ia belajar - sebab pendek. Tambahan pula, Napoleon ialah seseorang yang berasal dari Pulau Corsica, pulau yang dipandang tidak begitu penting oleh orang-orang Perancis.

Kerana itu, Napoleon telah berazam untuk menunjukkan kepada rakan-rakannya bahawa ia lebih baik daripada orang lain. Ia telah belajar ilmu ketenteraan dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya, beliau menjadi Maharaja Perancis - menakluki tiga suku Benua Eropah. Kekurangannya serta ejekan-ejekan dari rakan-rakannya tadilah yang mendorongnya menjadi panglima terkenal.

6. Orang yang positif mendengar dahulu pendapat orang lainOrang-orang yang bersikap positif tidak mengenepikan kecaman-kecaman musuhnya misalnya dengan terus mengatakan orang itu salah. Tetapi, ia akan mendengar kecaman-kecaman tadi dan memikirkan betulkah ia salah atau tidak. Perlu diingat, bila orang mengecam tentulah ada sebab-sebabnya. Kadang-kadang daripada kecaman orang lain, kita boleh dapat petunjuk untuk membaiki diri dan kerja kita.

Presiden Abraham Lincoln telah dikecam oleh Menteri Pertahanannya, Edward Stanton. Ia telah digelar oleh Stanton sebagai seorang dungu. Adakah Lincoln marah dan memecat Menteri Pertahanan itu? Tidak. Sebaliknya, ia telah bertanya kepada Stanton mengapa ia berkata begitu?

Stanton telah menerangkan bahawa langkah Lincoln memindahkan beberapa battalion tentera ke suatu tempat itu akan merugikan kerajaan Amerika. Lincoln yakin akan penerangan Stanton itu lalu terus menarik balik rancangannya tadi.

Sebaliknya, Presiden Suharto yang tidak mengindahkan kecaman orang bahawa dasar pentadbiran dan ekonominya tidak dapat membawa keadilan sosial kepada masyarakat Indonesia akhirnya terpaksa meletakkan jawatan dalam keadaan yang amat mengaibkan. Saya teringat kata-kata Dr. Mahathir yang kira-kira bermaksud “Don’t overstay.” “Kalau nak berhenti makan, berhenti masa tengah sedap makan.”

7. Orang yang positif sentiasa bangun apabila terjatuh“Orang yang penggamang mati jatuh, orang yang pending mati hanyut.” Bidalan - Pepatah Melayu; Penjelasan: Penakut tidak dapat apa-apa.

Saturday, November 8, 2008

5 Panduan Elak Gelincir Dari Landasan Islam

Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan pelbagai cabaran. Kehidupan manusia seakan-akan tidak mencukupi masa 24 jam untuk mengejar nikmat dunia dan membolot khazanahnya demi kehidupan yang menyenangkan.

Dalam pada itu, umat Islam tidak boleh lalai dan cuai untuk sentiasa merenung diri dan selalu ingat akan pesanan Nabi SAW supaya berwaspada tipu daya nikmat dunia. Oleh itu, sewajarnya kita mengingati lima pesanan Rasulullah SAW demi menjaga diri, keluarga dan masyarakat supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam.

Pertama, memperbanyakkan menyebut Allah kerana tidak dinafikan menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji orang yang berbuat baik kepada kita hingga ada kalanya terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita.

Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Alhamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sendawa. Pujian begini hanya di lidah saja tidak meresap ke lubuk hati.

Kata Al-Imam Ibnu Qayyim: “Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang dari siraman zikir, maka jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.”

Kedua, memperbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia kerana dunia terlalu sedikit jika dibandingkan dengan akhirat. Seribu tahun di dunia sama dengan sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat.

Hanya orang yang berfikiran pendek sibuk memikirkan wawasan dunia hingga terlupa wawasan akhirat. Manusia yang cerdik ialah mereka yang sibuk merancang wawasan akhiratnya. Saham amanah dunia tidak penting, tapi yang paling penting ialah saham amanah akhirat yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda.

Oleh itu perlu diperbanyakkan menyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat. Dengan menyebut dan ingat kehidupan akhirat akan menyemarakkan semangat untuk berbuat amal ibadat sebagai bekalan.

Ketiga, memperbanyakkan menyebut dan mengingat hal kematian daripada kehidupan. Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tetapi jarang memikirkan bekalan hidup ketika mati. Memikirkan mati adalah sunat untuk menginsafi diri.

Perjalanan jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Jika tidak diusahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat.

Meskipun sudah dijamin syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali mengenai kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dosa.

Keempat, jangan menyebut kebaikan diri dan keluarga kerana syaitan memang sentiasa hendak memerangkap dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat serta menyebut kebaikan yang dilakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya.

Satu kebaikan yang dibuat, ibarat ayam bertelur sebiji riuh sekampung. Tetapi kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan itu sudah menimbulkan satu penyakit hati, iaitu ujub yang boleh merosakkan pahala kebajikan dibuat.

Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan riak atau bangga diri yang mana Allah memberi amaran sesiapa yang memakai sifat riak tidak akan mencium bau syurga. Riak adalah satu unsur dari syirik kecil. Nabi SAW pernah berpesan: “Yang amat kutakuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil iaitu riak.”

Kelima, jangan menyebut dan menampakkan keaiban atau keburukan orang lain. Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut kesalahan dan kekurangan orang lain.

Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri sendiri. Bak kata orang tua-tua, “kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tidak kelihatan.”

Menuding jari mengatakan orang lain tidak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tetapi empat lagi menuding ke arah diri.

Oleh sebab itu, biasakan melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Islam menggariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan padanya.

Lihatlah kejahatan pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara itu kita terselamat daripada bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan manusia ke dalam api neraka.

Sunday, November 2, 2008

6 Syarat Peroleh Kebahagiaan Hakiki

KEBAHAGIAAN menjadi dambaan dan impian setiap insan. Oleh kerana kebahagiaan adalah satu istilah bersifat subjektif, maka tafsiran dan pemahamannya juga berbeza antara seorang dengan yang lain.

Ada yang menganggap kebahagiaan dapat dicari apabila memperoleh kekayaan melimpah ruah. Tidak kurang juga berpendapat kebahagiaan hanya diperoleh daripada suasana rumah tangga yang harmoni. Selebihnya pula berpendapat kebahagiaan sebenar terhasil daripada ketenangan jiwa dan keimanan tulus ke hadrat Allah Maha Esa.

Ringkasnya, setiap manusia mempunyai persepsi dan pemahaman berbeza mengenai kebahagiaan memandangkan penilaian perasaan bahagian itu sendiri hanya mereka saja yang boleh merasainya.

Menurut ahli falsafah Muslim terkenal, al-Farabi, kebahagiaan adalah suatu darjat kebajikan yang tertinggi yang tidak ada lagi suatu jenis kebajikan lebih tinggi atau lebih berharga daripadanya.

Justeru, sebagai kebajikan paling utama, kebahagiaan sangat dicari setiap insan untuk kebaikan dirinya. Ia adalah matlamat hidup sebenar dan keinginan terakhir dijejaki manusia kerana kejayaan menggapai kebahagiaan menjadikan mereka tidak memerlukan sesuatu yang lain daripadanya.

Ahli falsafah Yunani, Aristotles, pula menyatakan bahawa kebahagiaan adalah kebaikan tertinggi yang dibentuk dan diasaskan di bawahnya oleh himpunan kebaikan sangat banyak jumlahnya seperti kecantikan, kesihatan, kekayaan, kekuasaan, kecerdasan, ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan.

Semua nilai kebaikan itu adalah antara komponen yang dicari dan dijejaki setiap manusia sebagai wasilah menyampaikan mereka kepada kebahagiaan diimpikan.
Menurut perspektif Islam, kebahagiaan adalah lawan kepada penderitaan, kecelakaan dan kesengsaraan. Dalam konteks ini, orang yang berbahagia adalah orang yang memperoleh naungan rahmat, perlindungan dan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah.

Sebaliknya, orang yang celaka dan sengsara adalah orang yang dijauhkan daripada rahmat Ilahi dan mendapat seksaan api neraka. Orang yang beriman kepada Allah sedia maklum dan meyakini bahawa Allah akan menjamin kebahagiaan kepada orang beriman serta beramal salih.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman; iaitu mereka yang khusyuk dalam solat, menjauhi (perbuatan dan perkataan) sia-sia, mengeluarkan zakat, menjaga kehormatan diri kecuali terhadap isteri dan hamba mereka, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Sesiapa yang mencari selain daripadanya (isteri dan hamba), maka mereka itu orang yang melanggar batasan. Mereka yang menjaga amanah dan janji, mereka yang sentiasa mengerjakan solat, mereka itulah pewaris yang bakal mewarisi syurga Firdaus dan kekal di dalamnya.” - (Surah al-Mukminun, ayat 1-11)

Berdasarkan pengertian ayat suci itu, dapat disimpulkan sekurang-kurangnya ada enam syarat utama perlu dipenuhi terlebih dulu oleh setiap Muslim sebelum dapat mengecapi nikmat kebahagiaan yang dijanjikan Allah.

Enam syarat itu ialah khusyuk dalam solat, meninggalkan perkara sia-sia, mengeluarkan zakat, memelihara kehormatan diri, memelihara amanah serta menunaikan janji dan sentiasa mengerjakan solat.

Pendek kata, sesiapa yang dapat menghiasi dirinya dengan enam ciri itu, nescaya dia sudah menempah tiket kebahagiaan sejati yang dijanjikan Allah dan seterusnya terjamin di sisi Allah sebagai pewaris syurga Firdaus.

Berdasarkan hadis sahih, Rasulullah SAW pernah menjanjikan dua jenis kegembiraan (kebahagiaan) kepada orang berpuasa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa ada dua jenis kegembiraan; iaitu kegembiraan pada waktu berbuka puasa dan kegembiraan pada waktu berjumpa dengan Allah.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut ulama al-Azhar, Syeikh Mahmud Syaltut, berdasarkan hadis Rasulullah SAW, kegembiraan (kebahagiaan) yang pertama bagi seorang Muslim adalah kegembiraan kerana berjaya melaksanakan ibadat atau kewajipan agama yang diperintahkan Allah.

Kegembiraan kedua pula ditafsirkan sebagai kegembiraan kerana yakin dan optimis dengan ganjaran pahala berlipat ganda dijanjikan Allah kepadanya.
Tambah Syeikh Mahmud lagi, kedua-dua kegembiraan dicapai daripada menunaikan perintah Allah dan harapan terhadap ganjaran pahala di sisi Allah adalah dua faktor yang secara langsung akan memudahkan seseorang Muslim menjejaki kebahagiaan hidupnya dunia akhirat.

Kejayaan menunaikan perintah Allah akan mencetuskan ketenangan jiwa di sudut hatinya di samping harapan mendapatkan ganjaran pahala besar akan mempertingkatkan lagi motivasi serta kesungguhannya untuk terus beribadat dan beramal soleh selagi hayat masih dikandung badan.

Barangkali inilah antara hikmah dan kesan yang boleh dirasai setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Nilai kebahagiaan sebenarnya tidak diukur pada harta seseorang, pangkat atau kedudukannya.

Sebaliknya, kebahagiaan menurut kaca mata Islam didasarkan kepada amalan salih hamba Allah dengan penuh ikhlas sepanjang hidupnya. Itulah kebahagiaan sejati yang dijanjikan Allah kepada sesiapa yang beriman kepada-Nya dengan sebenar-benar iman.