1. Orang yang positif semakin tercabar, semakin kuatSeseorang yang positif berperibadi kuat seumpama besi waja; semakin dibakar oleh keadaan, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh dan tajam melayari kehidupan. Seseorang yang berperibadi lemah laksana timah atau lilin - apabila terkena api, hancur lebur. Apabila terketuk oleh cabaran; berkecai.
Dr. Mahathir Mohamad banyak memberi contoh yang cemerlang kepada kita semua. Lagi banyak masalah yang dihadapi, lagi bertambah kuat beliau. Seperti gam “exhaust pipe”, semakin kepanasan, semakin keras mencengkam! Orang lain sudah habis dan gawat idea, beliau keluar pula dengan idea yang mengejutkan! Itulah yang amat kita kagumi mengenai YAB Dr. Mahathir. Semakin tercabar, semakin gagah! Dunia amat mengkagumi idea-idea beliau. Dunia amat mengharapkan pandangan-pandangan dan fikiran-fikiran Dr. Mahathir.
2. Orang yang positif melihat peluang dalam kegawatanOrang yang negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Tetapi, orang yang positif dapat melihat peluang keemasan dari kegawatan!
Aristotle Onassis, jutawan Greek, asalnya seorang budak miskin. Ia pindah ke Argentina dari Greek untuk mencari penghidupan baru. Umurnya waktu itu hanya 17 tahun. Lepas perang Dunia Kedua, dunia menghadapi kemelesetan ekonomi. Banyak syarikat bankrap. Tetapi Onassis telah nampak satu peluang. Ia sedar yang tentera Amerika sedang menghadapi masalah kelebihan kapal perang. Kapal-kapal tidak lagi digunakan untuk berperang. Ia telah membeli kapal-kapal kecil tentera Amerika itu dengan harga murah.
Setelah membuat sedikit-sedikit pindaan, kapal-kapal itu telah boleh digunakan. Ia telah gunakanya untuk mengangkut barang-barang dan minyak. Dari sinilah permulaan sebenar bagaimana Onassis menjadi seorang jutawan.
Begitulah kelebihan Onassis. Sedang orang lain berada dalam keadaan negatif, beliau bertindak secara positif.
3. Orang yang positif sentiasa berusaha bersungguh-sungguhPelbagai contoh kejayaan yang menjadi sejarah membuktikan bahawa sikap positiflah yang membawa kejayaan kepada mereka yang mencapai kejayaan besar dalam kehidupan.
Perdana Menteri Inggeris, Harold MacMillan pernah menceritakan tentang nasihat ayahnya, “Mac, kalau kau telah fikir sesuatu perkara itu berguna dibuat, buatlah bersungguh-sungguh”.
Semangat waja Paul Getty juga amat baik sekali kita contohi.
4. Orang yang positif sentiasa mencari jalan memperbaiki diri Peter Drucker, professor ilmu pengurusan di Amerika ada berkata: “Pengurus yang berjaya sentiasa bertanya kepada dirinya apakah yang boleh ia buat, bukan apa yang orang lain patut buat”.
Dengan sikap seperti ini, tiap-tiap orang boleh berjaya malah dapat pula membawa kejayaan kepada penghidupan diri, keluarga dan masyarakatnya. Dengan bersikap positif, tenaga yang biasa digunakan untuk mengecam, memaki hamun, dan memarah-marah itu dapat digunakan untuk perkara-perkara membina.
Dengan bersikap positif, seseorang itu akan mencari jalan untuk membaiki kehidupannya. Bukannya berharap kepada orang lain untuk membaiki kehidupannya. Orang yang positif bertanggungjawab kepada dirinya sendiri - berdikari.
5. Seseorang yang positif tidak menyalahkan keadaanSeseorang yang bersikap positif tidak mengeluh atau mengecam bila ditimpa kemalangan, musibah atau terdapat kekurangan pada dirinya. Sebaliknya ia menggunakan kekurangan-kekurangan itu untuk kebaikan kepada dirinya serta orang lain.
Napoleon, yang kecil dan rendah iaitu 5 kaki 1 inci sahaja, selalu dipermainkan oleh rakan-rakannya di Maktab Tentera tempat ia belajar - sebab pendek. Tambahan pula, Napoleon ialah seseorang yang berasal dari Pulau Corsica, pulau yang dipandang tidak begitu penting oleh orang-orang Perancis.
Kerana itu, Napoleon telah berazam untuk menunjukkan kepada rakan-rakannya bahawa ia lebih baik daripada orang lain. Ia telah belajar ilmu ketenteraan dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya, beliau menjadi Maharaja Perancis - menakluki tiga suku Benua Eropah. Kekurangannya serta ejekan-ejekan dari rakan-rakannya tadilah yang mendorongnya menjadi panglima terkenal.
6. Orang yang positif mendengar dahulu pendapat orang lainOrang-orang yang bersikap positif tidak mengenepikan kecaman-kecaman musuhnya misalnya dengan terus mengatakan orang itu salah. Tetapi, ia akan mendengar kecaman-kecaman tadi dan memikirkan betulkah ia salah atau tidak. Perlu diingat, bila orang mengecam tentulah ada sebab-sebabnya. Kadang-kadang daripada kecaman orang lain, kita boleh dapat petunjuk untuk membaiki diri dan kerja kita.
Presiden Abraham Lincoln telah dikecam oleh Menteri Pertahanannya, Edward Stanton. Ia telah digelar oleh Stanton sebagai seorang dungu. Adakah Lincoln marah dan memecat Menteri Pertahanan itu? Tidak. Sebaliknya, ia telah bertanya kepada Stanton mengapa ia berkata begitu?
Stanton telah menerangkan bahawa langkah Lincoln memindahkan beberapa battalion tentera ke suatu tempat itu akan merugikan kerajaan Amerika. Lincoln yakin akan penerangan Stanton itu lalu terus menarik balik rancangannya tadi.
Sebaliknya, Presiden Suharto yang tidak mengindahkan kecaman orang bahawa dasar pentadbiran dan ekonominya tidak dapat membawa keadilan sosial kepada masyarakat Indonesia akhirnya terpaksa meletakkan jawatan dalam keadaan yang amat mengaibkan. Saya teringat kata-kata Dr. Mahathir yang kira-kira bermaksud “Don’t overstay.” “Kalau nak berhenti makan, berhenti masa tengah sedap makan.”
7. Orang yang positif sentiasa bangun apabila terjatuh“Orang yang penggamang mati jatuh, orang yang pending mati hanyut.” Bidalan - Pepatah Melayu; Penjelasan: Penakut tidak dapat apa-apa.
No comments:
Post a Comment