Tuesday, December 9, 2008

Warkah Buat Teman

Warkah tazkirah buat teman….

Suatu masa dahulu, kita pernah sama-sama mengharung badai dan ombak perjuangan, berkumpul sesama kita untuk musyawarah mencapai kata sepakat, bertaqarrub mendekatkan diri pada Ilahi dan bertadarus sambil memperelokkan bacaan tajwid. Di saat hati kebanyakkan insan sibuk dengan urusan duniawi, kita pula sibuk dengan urusan agama. Betapa aku rindukan detik-detik indah bersamamu dalam mencari redha dan kasih sayang Tuhan. Malangnya, masa tidak boleh berputar kembali. Apapun yang berlaku, perjuangan perlu diteruskan walaupun aku tiada di sisi. Teruskanlah perjuangan hingga ke titisan darah yang terakhir. Yakinlah! Allah sentiasa bersama orang–orang yang menolong agamaNya. Kenangan bersamamu pasti tidak akan luput dari ingatanku hingga ke akhir hayat. Akan kujadikan ia satu pengalaman berharga semasa kita sama-sama menuntut dulu. Sayugia, izinkan aku berkongsi rasa bersamamu walaupun aku tiada di sisimu pada ketika ini. Biar jauh di mata namun dekat di hati. Biarpun kita sering berhubung dan berutus surat, sukar bagi diriku untuk menyampaikan apa yang terpendam di hati. Suatu ketika dahulu, kita pernah menjadi sahabat paling akrab sekali sehingga digelar bagai belangkas. Di mana ada aku, di situlah jua engkau. Di mana ada engkau, di situlah aku turut berada. Namun, tetap sukar bagi diriku untuk menyatakan isi hatiku. Tentu kau masih memahami diriku yang suka memendam perasaan, bukan sengaja tetapi terasa berat mulutku untuk meluahkan secara lisan. Aku lebih selesa untuk menyatakannya dengan menulis sebegini…rasa bebas untuk bersuara tanpa diganggu oleh sesiapa. Tambahan, dirimu sering nakal memotong hujahku namun itu bukanlah penghalang untuk kita kekal bersahabat sehingga kini. Maka kugagahkan jua tangan ini untuk menulis padamu sahabatku…

Sahabatku……
Kadangkala aku keliru dengan diriku sendiri. Terlalu banyak persoalan-persoalan pelik yang selalu berlegar-legar di ruang fikiranku. Di manakah aku sebenarnya? Aku tahu di bumi tapi…di manakah letaknya aku di sisi Tuhanku, di manakah tertuainya iman dalam diriku, Islam…di mana aku dirikannya di dalam jiwaku? Adakah aku sudah benar-benar mengamalkan Islam dalam diriku? Adakah benar aku sudah menghayatinya? Jika ya, mengapa kurasakan hidup ini terlalu sukar untuk ditempuh? Mengapa pula kadangkala kurasakan tidak tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan dan ujianNya? Jika tidak pula, mana mungkin jiwaku sentiasa rasa berdosa dengan Tuhan? Mana mungkin rohku selalu mengingatkan untuk segera bertaubat dan beristighfar setiap kali aku alpa dari mengingatiNya? Iman…adakah benar aku beriman sedangkan ujian Tuhan pun belum pasti aku lepas walhal sekecil zarah sekalipun.

Sahabat yang kukasihi…
Biarpun ku tahu Allah itu benar, Rasul itu benar, syurga dan neraka itu benar, qiamat itu benar, titian Siratul Mustaqim itu benar, hati ini masih merasakan kosong…kosong umpama diriku berada di ruang udara yang tidak punya apa-apa. Ada ketikanya jiwaku rasa tenang, dan ada ketika jiwaku memberontak entah kenapa….jiwaku dapat merasakan yang malaikat Qiraman Katibin memanggil-manggil diriku ke jalan Ilahi, mengajak diriku untuk bersamanya selalu, tapi bisikan iblis durjana itu juga yang kuturuti. Apa jenis manusia aku ini? Kanan kata “ Jangan buat dosa”, kiri kata “ Bila lagi kau nak buat…inilah peluangnya.” Kanan kata lagi “ Besar pahalanya meninggalkan perkara yang dilarang Tuhan” kiri pula kata, “Ah…persetankan itu semua, hidup hanya sekali…bila lagi kau nak enjoy?” Bertelingkahlah kedua bisikan itu di telingaku…aku binggung memikirkannya. Jika silap langkahku pasti aku terjerumus ke lembah penghinaan. Sayugia, aku bermunajat dan bertafakur seketika. Memohon bantuan Ilahi agar diriku tidak menjadi bahan ketawa syaitan laknatullah dan bala tenteranya. Sungguhpun demikian, acapkali aku tersungkur…mungkin kerana tidak bersungguh dalam bermujahadah. Silapku jua…mugkin aku perlu lebih banyak bermuhasabah dan menghitung diriku sebelum aku mengirakan hal orang lain.

Sahabat yang kusayangi,
Alangkah indahnya hidup ini jika para kekasih Allah masih bersama kita. Ada juga tempat untuk kita mengadu dan menyelesaikan masalah. Bukannya sekarang tiada ulama’ atau guru agama untuk dirujuk…tapi tahu-tahu sajalah di akhir zaman ini. Para alimin dan ulama’ semakin berkurangan dan ditindas pula. Manakala pemerintah yang zalim semakin berleluasa dan berkuasa diagung-agungkan oleh umat manusia. Betapa hodoh dan hinanya dunia akhir zaman ini sehingga manusia tidak mengenal yang mana kaca dan yang mana intan. Betapa jahilnya umat manusia menilai erti kehidupan duniawi berbanding kehidupan fana. Semakin bijak manusia semakin rendah nilai akhlaknya. Di manakah mereka letakkan akal dan nafsu dalam diri? Renungkan perumpamaan orang tua-tua dahulu kala : harapkan pagar, pagar makan padi… DIA mengharapkan manusia agar menjadikan akal itu raja dan nafsu itu hamba tetapi sebaliknya…nafsu sudah menjadi raja dan akal pula menjadi hamba. Umat kini sudah tiada nilainya berbanding dahulu. Umat kini hanya bersandarkan kepada keagungan Islam dan bukannya bersandarkan kepada kekuatan roh Islam itu sendiri. Mereka seronok memperkatakan mengenai cara hidup Islam tetapi mereka tidak mengamalkannya. Mereka gah dengan perkataan ulama: tetapi mereka sebenarnya ulama’ dunia semata. Mereka suka perleceh hukum-hakam Islam tetapi mengaku Islam. Mereka bangga dengan Islam tapi apakah semua itu bernilai di sisi Tuhannya? Aku takut wahai sahabatku…adakah aku tergolong dalam umat seperti ini? Nauzubillah min zalik… “ Ya Allah janganlah engkau pesongkan hati ini setelah aku mendapat petunjuk darimu, sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia”. Hidup di akhir zaman ini amat sukar dan rumit sekali kurasakan. Sungguh besar godaan dan dugaanNya, penuh ranjau dan onak duri yang merintangi hidupku…aku bimbang jika akulah orang yang Rasulullah katakan…paginya Islam dan petangnya kafir …Ya Allah jauhkan aku darinya…

Wahai sahabatku,
Besar harapanku, aku ingin membawamu bersama ke syurga namun apakan dayaku. Diriku sendiri pun masih terlalu lemah dan jahil, inikan pula berhajat besar untuk membawamu ke syurga. “ Tidak sedar diri…diri sendiri pun tak terjamin syurga inikan pula nak menjamin orang lain…”Cerminkan dirimu dahulu jika ingin memimpin insan lain. Ingatlah! Kau masih banyak kelemahan yang perlu dibaiki. Jangan asyik mencari kesalahan orang lain sehingga silapmu sendiri tidak nampak. “ Ya aku sedar sahabatku,aku cuma insan yang jahil lagi dhaif. Yang hina lagi dina tetapi kerana kesedaran inilah yang mendorongku untuk membawamu bersamaku…kerana keinsafan inilah yang menyemarakkan semangatku untuk bermujahadah melawan nafsu-nafsu dunia…kerana penyesalan inilah yang mendidik hatiku agar sabar dan tabah dalam kerja islami. Dan kerana taubat inilah yang menyebabkan hatiku tergerak untuk mencintai Allah dan Rasul melebihi segalanya. Doakanlah untukku wahai sahabatku…agar aku istiqamah dalam amal islami. Aku benar-benar mengharapkan redha Allah dan doa dari seorang sahabat yang amat aku kasihi. Dalam suasana kehidupan yang penuh mencabar ini, hanya doalah yang kuharapkan agar menjadi senjata paling ampuh buat diriku dan mungkin juga dirimu…InsyaAllah.

Sahabatku,
Sekian sahaja warkah dariku yang sekadar mengisi ruang kekosongan di kala sendirian. Alunkanlah zikir di hatimu di kala sunyi. Biarkan ia basah di bibirmu dan bergetar di dadamu selalu…”wahai Tuhan, aku tak layak masuk syurgamu, namun tak pula aku sanggup ke nerakamu…terimalah taubatku dan ampunkanlah dosa-dosaku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dosa-dosa besar”. Siapalah aku untuk membicarakan soal hati bersamamu, kerana aku hanyalah insan kerdil, yang singgah sementara dalam hidupmu. Sampai masa, aku akan tiba ke tempat yang kekal abadi tanpamu wahai sahabatku. Kemaafan ku pinta andai aku terkasar bahasa terlajak kata sepanjang pertautan ukhwah ini. Semoga silaturrahim ini ( lillahi taala ) akan menjadi bekalan untukku di sana kelak…begitu juga denganmu…InsyaAllah…

Wassalam……

No comments: