Thursday, September 29, 2011

Scotland. Impian yang tertangguh.

Assalamualaikum wbt.

Dah 12.43 tengah malam. Saya tengah tunggu kek karamel masak dalam oven. Ada 1 jam lagi baru boleh tidur.

Boring ah tengok tv. Walaupun tv memang sediakala terbuka. Luxe.TV tengah tayang dokumentari tentang Athens, Greece. Tak minat. Lain la kalau dia tayang pasal London. Terubat gak rindu tengok Big ben. ;P

Ehmm... nak cerita apa pun tak tahu nak mula kat mana. Macam-macam perkara yang berlaku dalam seminggu ni. Cerita best. Cerita sedih. hukhuukk. Cerita mengujakan. Cerita mengenyangkan pun ada. hehe.

Semestinya cerita yang best ialah Jumaat lepas saya dapat tawaran kerja di Scotland. Macam tak percaya je bila baca mesej dari kakak senior di Kusza dulu. Dia tolong kawan carikan pembantu nak jaga anak dia sementara mereka suami dan isteri sedang sibuk di saat akhir menulis thesis Phd.

Dalam hati masa tu melonjak keterujaan nak pergi. Sememangnya Scotland adalah destinasi yang saya tak sempat sampai masa bekerja di London dulu. Bak pucuk dicita ulam mendatang saja tawaran ni datang pada saya.

Sambil-sambil duduk menunggu Isya' saya memikirkan siapalah pelajar Malaysia yang sedang mencari pembantu tu ya. Ada juga terdetik dalam hati satu nama yang saya kenali lewat dulu menerusi satu blog yang menceritakan kisah mereka dan anak yang menderita sakit sehinggalah dijemputNya.

Tak lama kemudian, kak A telefon. Kami bersembang dan seperti yang diteka. Memang betullah seperti yang dijangka saya tentang Kak A sekeluarga yang sedang mencari pembantu. Bertambah seronoklah saya nak membantu Kak A. Saya pun berjanji selepas berjaya mendapatkan keizinan mak saya akan segera bagitahu kak A.

Malam tu, mak sampai Rumah Danau saya pun bagitahu tentang tawaran kerja ni. Mulanya mak terkejut dan diam seakan tidak mengizinkan saya ke sana. Lama mak diam tak kata apa. Saya pulak yang cemas sambil cuba meyakinkan mak dengan alasan yang saya kira kukuh untuk mendapatkan keizinan.

Lepas tu masing-masing diam tak terkata apa. Sebenarnya mak juga mempunyai alasan yang saya kira kukuh juga untuk tidak membenarkan saya ke sana. Katanya, kenapa mahu ke sana sedangkan saya sudah ada kerja yang baik di sini. Kerja yang dimaksudkan ialah bisnes yang saya sedang usahakan sekarang. Bakeri. Pelanggan dah ada. Barang bakeri dah lengkap. Tak sayang ke nak tinggal?

Aduhh... Saya terdiam bila alasan ini diutarakan. Masing-masing punya sebab tersendiri.

Lepas habis sembang malam tu, kami diam tak kata apa-apa. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Kami berbual seperti biasa sambil membuat roti jala yang ditempah pelanggan. Sebenarnya saya tak tidur pun malam tu. Sibuk siapkan tempahan. Mak tidur dan sambung bantu saya selepas Subuh.

Jam 7 pagi saya bersiap untuk ke Putrajaya ada program GALIPS anjuran bekas-bekas pelajar yang pernah belajar di MATRI, Ibn Khaldun, SMASKL dan KTD. Sekali lagi di sana dua orang bekas guru saya yang tahu cerita ni turut sama menyokong saya untuk ke sana. Kata mereka 6 bulan tak lama. Pejam celik dah nak balik. Saya apa lagi... bertambah-tambah la seronok sebab dapat sokongan tambahan. hihi.

Kegembiraan saya tak kekal lama. Dalam duk seronok ada juga terselit bimbang dan rasa macam tak nak pergi pulak. Rasa sedih nak tinggalkan mak. Tinggalkan anak saudara yang dah semakin mesra dan keletah. Bila terbayang wajah mereka mula la air mata bergenang. Aarrghhh... hati berbolak balik. Banyak benda lagi yang saya tak buat kat sini. 

Tak lama kemudian saya tekad bagi jawapan pada kak A. Saya kuatkan semangat untuk menolak tawaran walau dalam hati saya memang nak sangat pegi. Lega sedikit rasa lepas hantar mesej pada Kak A. Tak lama lega tu. Lepas tu mula rasa menyesal pulak apasal tolak tawaran. haha. Tak tetap pendirian betul. 

Saya bagi keputusan kat Kak A hari Sabtu malam. Hari Ahad esoknya, Kak Jah yang duduk menyewa bilik bercerita dengan saya. Mak ceritalah dengan Kak Jah pasal saya nak ke Scotland. Kata Kak Jah, mak tak kisah saya nak pergi. Sementara saya bujang ni biarlah saya pegi. Memang tu tempat yang saya nak sangat pergi.

 T__T

Terima kasih mak kerana sentiasa menyokong setiap kerja yang saya lakukan.

Ehhmmm... kali ni biarlah saya pula berkorban. Moga ada rezeki lagi di masa hadapan untuk ke sana. Rezeki kita kan Allah yang tetapkan. Insyaallah, tak pergi kerja. Ada duit dapat pergi melancong pun boleh. :)

Dah tak jadi pergi Scotland, saya mula memikirkan nak ambil kelas menghias kek. Nak pelbagaikan jenis kemahiran yang ada. Dah bincang dengan mak. Nak lagi tambah terharu. Mak siap kata. 

" Nak pegi Scotland pun boleh. Nak pegi belajar buat kek pun boleh. Yang penting buat apa pun buarlah bersungguh. Jangan separuh jalan."

Terima kasih mak. Insyaallah, moga Allah permudahkan urusan saya. Moga Allah panjangkan umur mak juga. Saya nak mak tengok dan kritik kerja-kerja saya dan menjadi penasihat di kala saya memerlukan.

Alhamdulillah, semalam dah dapat calon pembantu Kak A. Moga Allah juga permudahkan urusan mereka.




Wednesday, September 28, 2011

Projek Baru. :)

Assalamualaikum wbt.




Raya dah habis. Saya baru merangkak dengan projek baru. hehe. Takpalah. Perlahan tapi berterusan. ;)

Esok ada pelanggan tempah biskut untuk majlis pertunangan anak lelaki dia. Jadi saya buatkan hiasan simple. Tinggal nak letak bunga atau hiasan lain mengikut tema mereka, Saya pun tak punya barang yang banyak nak pelbagaikan hiasan. Saya serahkan selebihnya pada mereka. Ini pun sebab saya nak tutup warna merah pada penutup balang. Jadilah hiasan sebegini.

Ini satu permulaan... Nanti ada masa pergi White Petals. Boleh beli macam-macam. :)

Amacam.. chantek tak..?? ~ayat minta pujian pendapat. ;P





Friday, September 23, 2011

Kek Karamel Edisi Petang.

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah... selesai membakar 2 biji kek karamel hari ni. Pagi tadi sebiji. Petang ni lagi sebiji.







Saya boleh... Korang pun mesti boleh. Pentingnya kena sabar. Buat kek ni tak boleh kelam kabut. Nak kacau kena perlahan. Nak asingkan telur putih dan merah kena hati-hati. Nak melapis adunan kena teliti. Memang renyah la kalau nak cerita. 

Apa pun bila tengok hasil selepas mentelangkupkan loyang. Senyum sampai telinga. ;D



Kek Karamel dengan teknik Kak Azlita Aziz.

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah. Di saat orang lain enak beradu. Saya berkelentung kelentang di dapur nak siapkan tempahan untuk hari esok.

Salah satunya ialah Kek karamel. Kali ni selepas terpegun dengan hasil kek karamel dari Kak Azlita. Dengan gigihnya saya pun menyalin teknik yang Kak Ita kongsikan di blog Masam Manis.


Tadaaa... Senyum sengih saya bila angkat loyang nampak hasilnya cantik macam ni. Ewaahhh... puji kek sendiri nampak. ;P

Berdebar tu tak tahu nak katalah. Serba salah nak angkat loyang atau nak tunggu lagi setengah jam. Selepas mengucap lafaz bismillah, dengan tawakalnya saya angkat juga loyang yang masih lagi suam-suam kuku.


Kalau sebelum ni ada jugak sompek di sesetengah tempat. Karamel melekat lagi lah. Ada pernah sekali retak dekat bahagian tengah. Mengelabah saya sms pelanggan minta ambil lambat sikit sebab nak buat balik. Pheww.. memang kalut masa tu. 

Alhamdulillah.. sekarang dengan teknik yang Kak Ita kongsikan. Maka kek karamel saya boleh bergaya tanpa malu. hehe. Perfect...!


Oraittt.... - - - - - - - -  -  -   - >  Sambung buat kerja. ;)





Tuesday, September 20, 2011

Eh... Dah sampai 999 orang yang sudi jadi Follower saya.

Assalamualaikum wbt.


Terima kasih saya dahulukan buat semua yang sudi datang dan menjadi Follower.

Moga kedatangan korang ke sini ada manfaatnya. Cari resepi ke. Nak tengok gambar saja pun ada. Moga apa yang diperolehi di sini ada kebaikan dan manfaatnya.

Asalnya saya nak buat entry pasal Autumn. Esok 21 September bermulanya musim luruh di sana.

Rindulah teww. ;)


Hyde Park  November 2010.

Selingan.. Choc Moist Cake dengan Vanilla Ice cream.

Assalamualaikum wbt.



Buat yang bekerja. Selamat makan tengahari.

Buat yang berpuasa... --------> Sabar ye.. ;)




'Cik Ema.. boleh makan ke ni?'

Assalamualaikum wbt.










Biasanya anak kecil yang bertanya. Dorang tengok cupcakes yang saya buat sambil mulut bertanya. 'Cik Ema boleh makan ke ni?' hehe. Comel la soalan dorang ni. Buat saya tersenyum tersengih tak tahu nak kata apa. Lantas mak dorang pun cakap. 'Ambiklah. Cik Ema ko buat memang untuk makan.' Kang anak dia menjawab pulak, 'Sayang nak makan. Cantik.' :)

Sejak dari saya belajar buat cupcakes dulu macam ni la jugak jadinya. Anak saudara tak nak makan cupcakes yang saya buat selagi tak disuruh. Alasannya sama. 'Cantik la kek mak lang. Pandai mak lang buat.' Eceehhh.. mak lang dia dah senyum kembang habis kena puji dengan anak saudara. Esok ada rezeki panjang umur dapat belajar hias kek dengan Kak Najah. Jangan la masing-masing buat perangai tak nak makan jugak. haha. Mahunya kek tu jadi hiasan meja saja.

Ayat dari kakak saya lagi best. 'Rumah ni dah macam orang putih. Hidang cupcake kat tetamu.' ;P

Sebetulnya nak cover malu. Biskut raya dah habis. Ganti dengan cupcake la senang. Kata tokey jual kek. Haruslah jamu apa yang berkaitan dengan kek kan.. ;D







Lama dah pemandangan KL tak secerah hari ini.

Assalamualaikum wbt.









Alhamdulillah... best je pandang luar hari ni. Panas. Takde jerebu. Terima kasih Ya Allah. Moga pemandangan begini kekal untuk satu tempoh yang lama.

Bila pandang awan hari ni. Teringat awan di England. 


Bradford, Autumn 2010


Liverpool, Summer 2010


Regent's Park, Summer 2010


Greenwich Park, Spring 2010

Sejujurnya, bukanlah sepanjang tahun 365 hari cuaca cerah dan langit menceriakan penghuninya. London terkenal dengan jolokan nama 'cuaca yang tak menentu'. Sekejap mendung. Lima minit kemudian panas. Langit biru. Nanti seminit kemudian mendung balik. Tak boleh nak jangka. Di sana ramalan cuaca sangat boleh dipakai. Memang 80 peratus boleh pakai. Ada masa saya tengok ramalan cuaca pada malam sebelumnya kata esok mendung, berangin dan ada kemungkinan hujan renyai. Esoknya bangun pagi selak langsir. "Subhanallah. Cantiknya pagi ni.' Segalanya berbalik pada Dia yang menentukan alam ini.


Tonle Sap, Cambodia. Kredit gambar kepada : Siti Noor Syazwana.

Untung sapa-sapa yang selalu dapat melancong ke luar negara. Tak kisah la atas urusan kerja atau memang kerana bercuti. Banyak hikmahnya. Bila pergi negara maju, ada kebaikan yang boleh kita ambil untuk memperbaiki diri. Pergi negara yang mundur, kita akan jadi lebih bersyukur dengan segala nikmat yang ada di negara kita. Bila semua nikmat tu kita ambil, insyaallah... kita akan jadi manusia yang lebih baik.

Minggu lepas abang ipar tanya, 'ko dah 10 bulan balik sini. Apa yang ko rindu kat sana? Sana tu maksudnya London.

Saya jawab satu je. Bila fikir balik. Boleh jadi satu entry nanti. Tunggu lah ada masa saya kongsikan.




Sunday, September 18, 2011

Red Velvet Cake.

Assalamualaikum wbt.











Alhamdulillah...

Resepi Red Velvet Cake




Untuk tempahan :


Harga :


2kg - RM 90


Mini Red Velvet Cake 


 1.5 kg RM60


Saya gunakan mascarpone, cream cheese dan double cream untuk sapuan kek.


Hubungi Irma :


013- 2588230.







Thursday, September 15, 2011

Kepada anonymous, Saya dah tahu... Saya dah ingat...!

Assalamualaikum wbt.

Subhanallah... sepanjang minggu ini saya dihantui dengan komen anonymous sampai tak boleh nak tulis entry disebabkan rasa yang kurang enak tentang komen dari dia. Rasa serba salah.

Antara sebab saya duk teringat-ingat lagi pasal hal ni sebab selepas komen pertama ada lagi komen kedua yang dihantar. Saya tak publish sebab rasa tak sesuai. Ini masalah antara saya dengan dia. Jadi pembaca yang komen entry tersebut memang tak tahu hujung pangkal. Mereka memberi pendapat berdasarkan apa yang saya tulis.

Selepas dua tiga hari duk fikir. Perah otak nak ingat balik, siapa pelanggan yang saya pernah tolak tempahan pada saat akhir. Tak ingat. Fikir lagi tak ingat. Sampailah masa, saya duduk sambil buat tempahan muffin. Allah beri saya ilham siapa gerangan pelanggan yang saya dah tolak tempahan dia di saat akhir.

Masa tu memang saya tak tahu nak kata apa. Bila dah ingat siapa tuan punya badan. Mulalah saya ingat apa yang berlaku pada hari tersebut. Saya ingatkan hal ini dah selesai bila saya hantar sms hari tersebut. Rupanya dia berkecil hati dengan saya.

Begini ceritanya...

Pada hari Ahad kejadian, saya hanya ada satu sahaja tempahan. Pelanggan nak kek karamel sebiji untuk diambil pada jam 3 petang. Saya terima tempahan tersebut kerana tak ada apa program dan tempahan lain. Dia dah tempah sejak awal minggu lagi. Lebih dari 3 hari seperti mana syarat biasa tempahan.

Nak jadi cerita sampai hari Jumaat, mak saya datang untuk bermalam di Rumah Danau dengan saya. Memang dah jadi rutin mak setiap minggu. Sebab saya tak duduk Rumah Keramat. Saya tinggal di Rumah Danau. Rumah arwah abang saya. Jadi, malam tu dia cerita pasal program Ihya Ramadhan di Masjid Hulu Klang. Saya tak cakap apa. Diam. Sebab saya tahu hari Ahad tu saya ada tempahan. Saya tak berani nak kata setuju untuk temankan dia. 

Esoknya Sabtu, mak masih bercerita tentang program Ihya Ramadhan. Dalam diam saya faham, mak mengharapkan saya menemani dia untuk bersama pada hari Ahad. 

Akhirnya.. tak mahu menghampakan mak. Saya tanya tentatif program macamana. Dari kata mulut mak, program habis tengahari. Jadi, kalau tengahari sempatlah saya nak balik buat kek karamel.

Seawal pagi Ahad kami dah keluar untuk ke Masjid Hulu Klang. Dari awal saya ok lagi. Dah masuk pukul 10 pagi saya tak nampak program ni boleh habis tengahari. Saya dah risau. Duk teringat pasal tempahan kek. Tak lama lepas tu saya sms dia (pelanggan yang nak kek karamel). Tanyakan kalau boleh kek karamel tu ambil lewat sikit. Nampak gaya tak boleh. Sebab dia nak balik Penang lepas ambil kek karamel pukul 3 petang.

Nak tak nak saya terpaksalah kensel tempahan kek karamel dia. Sebab saya memang tak dapat balik tengahari. Saya bagi alasan ada perkara yang tak dapat dielakkan. Perkaranya itulah. Saya masih berada di program Ihya Ramadhan sampai selesai solat Zohor. Jam 2 petang. Mana nak sempat buat kek dalam masa 1 jam.

Bila dah ingat balik siapa orangnya. Bila berlaku hal ni. Memanglah benar kata dia. Bukan sahaja pelanggan takde rezeki. Saya juga takde rezeki bila tempahan tak dapat dilakukan dan diambil pelanggan.

Maaf... Maaf... Maaf dari saya pada anonymous yang merupakan pelanggan saya pada tarikh tersebut kerana terpaksa menolak tempahan di saat akhir. Saya dah cuba untuk buat yang terbaik. Saya nak menemankan mak ke masjid dan dalam masa yang sama, cuba jugak nak menyiapkan tempahan kek karamel. Nampaknya apa yang saya rancang tak secantik aturan Allah swt pada diri saya. Dari satu pihak, saya berjaya gembirakan hati mak. Pada pihak dia pula, saya dah mengecilkan hati pelanggan. Maaf sekali lagi dari saya.

Selepas apa yang berlaku, memang jadi pengajaran buat saya. Pengajaran untuk masa akan datang juga. Bila tempahan dah penuh, saya akan tolak tempahan yang datang di saat akhir. Saya tak nak kejadian tak menang tangan dan menolak tempahan di saat akhir berlaku. 

Harapnya dengan penjelasan ini, anonymous dapat memaafkan saya di atas apa yang terjadi. Moga di masa akan datang tiada perkara sebegini berlaku lagi. Hikmah yang Allah nak sampaikan supaya saya belajar dari kesilapan ini. Walaupun rasa sedih. Ini adalah asam garam dalam perniagaan. Kena hadapi.

Syukur saya diberi peringatan/pengajaran melalui tulisan. Cuba bayangkan kalau pelanggan datang sembur depan mata. Masyaallah. Saya tak dapat nak bayangkan keadaan saya masa tu. 

Anonymous... Selamat Hari Raya. Maaf zahir dan batin.




Monday, September 12, 2011

Alhamdulillah... perjuangan minggu ini sudah selesai.

Assalamualaikum wbt.


1350 biji muffin. 

Nanti saya cerita ya. Sekarang nak buat pavlova untuk esok pula.

Selamat malam.





Wednesday, September 7, 2011

Wordless Wednesday (13).

Assalamualaikum wbt.

Selamat Pagi Blogger Tanpa Suara... ~_*




Jom nyerok (sarapan)..!

Monday, September 5, 2011

Tahu tak.. Ketupat Pulut Periuk Kera.

Assalamualaikum wbt.

Salam Syawal bagi mereka yang dah mula bekerja. ;)

Semalam Kak Jah pun dah balik Rumah Danau setelah seminggu berhari raya di Pahang. Macam biasa bila Kak Jah balik, saya mesti tunggu kerepek buatan mak Kak Jah. Sedap sampai saya boleh makan tak ingat orang. Leka masuk mulut tak berhenti. Syukurnya setahun dua tiga kali saja peluang dapat makan kerepek sedap ni datang. Macamana la kalau dapat makan selalu. Mahu muka saya pun dah bertukar jadi kerepek. ;P

Selain dari kerepek. Kak Jah bawa menu raya yang tak pernah saya dengar dan makan sepanjang hidup saya mengenali erti raya. Ewaahh. ayat apa ni Irma...? :)

Ketupat Pulut Periuk Kera.

Korang pernah dengar tak nama menu raya ni..? Tak pernah... Kita sama gengsi la kawan. Saya sendiri semalam bila tengok kali pertama terus tak berani nak cuba. Cuak juga dalam hati tengok rupa ketupat yang luar biasa ni. 

Lama saya nak cuba. Tu pun selepas Kak Jah puas duk pujuk. Cubalah. Cubalah. Mula-mula saya cuit sedikit ja. Tak reti makan la kononnya. Dah masuk mulut sekali. Terus jadi berkali-kali. Sampai habis sebiji. Saya tak tahulah ketupat pulut periuk kera orang lain macamana. Ketuput pulut periuk kera yang saya makan ni dicampur dengan pulut hitam sedikit. 

Macamana rupa. Tunjuklah..!






Saya makan begitu saja. Almaklumlah rumah anak dara yang segan masak. Memang takde stok rendang atau serunding bawah tudung saji. Makan lah pulut saja. ~sambil cuba memasukkan bunyi latar sedih~

Harapnya... di masa akan datang, saya sendiri masuk hutan cari periuk kera untuk di buat ketupat pulut. Saya nak merasai macamana senang atau susah ke nak dapatkan periuk kera ni.

Sebabnya.... kata Kak Jah, adik saudara dia jual ketupat pulut periuk kera ni sebiji 30 sen sahaja.

Adoiiii... kenapa murah sangat..!!






Saturday, September 3, 2011

Bila Anonymous bersuara...

Assalamualaikum wbt.

Salam Syawal hari yang ke 5.

Alhamdulillah... pagi tadi jam 10 pagi siap dua tempahan dari jiran di Rumah Keramat. Anaknya nak bertunang hari ni. Dapat tempahan cupcake dan pavlova.








Bila anonymous bersuara pada entry ini -

jgn ingat org je yang takde rezeki. sbnrnya org yg menjual tu yg takde rezeki..bila org order, org yang menjual pulak yg cancel last minute..mungkin org serik...:(


Bila dapat saja komen ni hati saya terus berdetik. "Komen ni dituju untuk saya atau secara umum luahan hati dia bila tempahan dia ditolak last minute."

Jeng... Jeng... Jeng... 

Saya memang pernah tolak order kawan mak saya untuk tempah pavlova. Dah tak menang tangan nak buat. 

Adakah Anon ini kawan mak saya..???



Friday, September 2, 2011

Cerita Eid Mubarak sambil makan di Nice Coffee Station.


Assalamualaikum wbt.

Salam Syawal yang masih lagi meriah di kampung. Sunyi bagi mereka yang berada di KL. Best bangat. Jalanraya pun lenggang. Perjalanan yang biasa mengambil masa 1 jam perjalanan menjadi pendek bila semua warga perantau pulang ke kampung halaman. 

Sambung… cerita bersambung lagi. Kisah nak pergi beli bunga ni alkisahnya bermula di rumah pakcik saudara saya. Orang perempuan kalau jumpa dengan geng yang minat menanam pokok, agenda sembang mesti tak lari pasal bunga.

Masa di kampung, makcik saudara saya memang kerjanya rajin menanam pokok. Halaman rumah dia penuh dengan pelbagai jenis tanaman dan bunga. Rasanya saya kalau duduk lama di sini boleh jadi tak nak balik KL. Tenang ja duduk bawah pondok  di kelilingi pohon menghijau. Belakang rumah pula ada dusun buah-buahan yang sedang berputik sekarang. Kata pakcik, tahun ni pokok semua menjadi. Ada rezeki kami anak dan cucu dalam masa sebulan lagi boleh la nak merasa buah percuma. 

Masa di kampung inilah saya dan mak mengenali sejenis pokok bunga yang dipanggil ‘bunga burung bertenggek’. Unik rupanya. Di celah kelopak bunga yang berwarna merah, ada buah yang menyerupai burung sedang bertenggek.


Beginilah rupanya. Ada tak rupa macam burung..?

Mak apa lagi. Terus teruja nak juga sepokok dua. Makcik Nah saya terus bagitahu kat mana nak beli. Kata mak lagi, pokok ni belum ada di KL. Ye ke? Saya pun tak pasti. 

Itu yang jadinya sebelum masuk tol Slim River kitorang singgah dulu beli bunga di nurseri tepi jalan. Asalnya dari mahu membeli sepokok dua terus jadi berpokok-pokok sampaikan penuh boot kereta. Tak cukup dalam boot kereta. Masuk pula dekat tempat alas kaki bahagian tengah kereta. Ini baru kereta Viva. Rasanya kalau kami ada MPV, mahunya dengan pasu atau pokok besar lain sekali mak nak beli. 



Cantik air terjun ni. Mak dah berangan nak buat air terjun kecil dekat rumah Keramat. Serupa dalam gambar ni tak sesuai dengan rumah kami. Air terjun ni sesuai untuk rumah yang ada laman luas. 


Pokok kektus pun ada. Rasanya zaman sekarang ni pokok kektus sesuai ditanam di rumah sebagai senjata alternatif jika berlaku kejadian rompakan atau kecurian. Rasa-rasa yakin yang datang menghendap tu pencuri, ambik pokok kektus sebiji. Baling. Naahhh...!! Rasakan. berani sangat masuk rumah orang ya. Yang penting korang pun kena berani. Agak-agak kalau takut tu. Tak dapek la den nak nolong. 


Oh teratai bunga indah... =)


Nampak tak bunga yang berwarna kuning, merah dan pink dari kejauhan. Itulah bunga yang saya ambil dalam entry semalam. Tak banyak pun. 


Teringat dekat Orked. =)




Pokok bunga kertas ni RM10 dapat 3 pasu. 








Selesai aktiviti membeli pokok, kami beredar meninggalkan nurseri. Masuk saja tol Slim River, kereta dari arah selatan menuju utara kelihatannya panjang berbaris. Sesak. Barangkali sudah tiba giliran untuk berhari raya di utara selepas selesai giliran di selatan. Sekarang semua orang ada kereta. Antara mahu atau tidak saja pulang ke kampung halaman. 

Dalam perjalanan biasanya saya jarang tidur dalam kereta. Bila jalan siang saya seronok menikmati pemandangan hijau di kiri kanan jalan. Kali ni, masuk sahaja kereta. Lentok kepala di kusyen terus mata tak nak berkompromi lagi. Ngantuk sangat. Letih berjaga sampai jam 5 pagi sebelum 1 Syawal masih terasa walaupun sudah masuk hari kedua raya. Selagi belum sampai destinasi, mata ni memang tak reti nak terbuka. Sampaikan mak sendiri menegur bila nampak saya terjaga. "Puas dapat tidur ma?" Haha. Saya pun pelik kenapa mak tegur saya begitu. Barangkali ada dengkuran kedengaran bila saya lena di belakang. ;P

Hari ini saya sedar. Beginilah keadaan abah satu ketika dahulu semasa dia bekerja sebagai penjual ayam di pasar Chow Kit. Pergi kerja seawal jam 3 pagi untuk menunggu ayam yang bakal sampai dari pembekal. Pulang ke rumah kadang tak menentu. Ada seawal jam 6.30 petang dan ada kala lewat menjengah jam 10 malam. Bila semakin dekat dengan hari perayaan, kamilah keluarga yang paling lewat sampai ke kampung dan paling awal kembali ke KL. Biasanya 2 atau 3 hari saja kami dapat beraya di kampung. Lepas tu abah dah kembali sibuk di pasar menguruskan permintaan orang ramai yang mahu membeli ayam. 

Dah la penat bekerja. Berehat sejam dua dapat melelapkan mata menghilangkan penat bersambung pula untuk memandu pulang ke kampung sama ada di Johor atau Perak. Tu pasal bila sampai kampung, abah boleh lena kat mana saja. Tak payah bantal pun tak apa. Letih punya pasal. Saya pula masa tu masih kecil tak reti bahasa lagi duk merungut. 'Abah ni kalau balik kampung nak tidur. Baik tak payah balik kampung.' 

Sekarang... bila saya bekerja sendiri. Berjaga sampai jam 3 atau 4 pagi menyiapkan tempahan kek atau kuih. Membuatkan saya lebih mengerti keletihan abah mencari rezeki untuk membesarkan kami adik beradik. 

Abah..!!! 

Sampai saja KL kami menyambung perjalanan hari raya ke rumah mak saudara di Klang. Rumah wajib singgah tak kira raya ke berapa. Sampai sana dapat makan mee kari, bihun goreng dan spaghetti bolognese. Dah habis sembang bertukar cerita. Kami pun pulang ke pangkal jalan. Ehehehh. Balik Rumah Keramat. Malam tu dah selesai semua baru balik Rumah Danau.

Habis cerita. Nanti ada cerita best lagi saya sambung okeyh. Sekarang saya mahu order makan. Lapar. =)


Bersiaran secara langsung dari Nice Coffee Station, PV12. Jom makan...!!!