Friday, February 26, 2010

Tunggu Kami Ya Rasulullah...!!!




SALAM MAULIDUR RASUL


“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (33: 21)”



Baginda saw juga tidak lahir takjub seperti Adam, Hawa mahupun Isa. Malah sebenarnya, Baginda saw hadir ke bumi Allah tanpa sempat melihat wajah seorang ayah. Bagaimana rupa Abdullah, entahlah Baginda saw tidak tahu. Baginda saw bukanlah kecuali hanya seorang manusia biasa seperti kita-kita juga. Tetapi berbekalkan nur Tuhan dan inspirasi al-Quran, Baginda saw membina sebuah peradaban manusia. Subhan Allah.



Baginda saw seperti anak-anak kecil yang lain. Cuma, ibu dan datuk Baginda saw telah pergi awal. Apakah sebenarnya ya perasaan seorang anak kecil melihat ibunya meninggal dunia di depan mata, nun di tengah padang pasir yang tandus dan kering? Pun begitu, di tangan Baginda saw sebuah peradaban manusia terbina. Subhan Allah.



Baginda saw seorang laki-laki, seperti sebahagian dari kita-kita. Cuma, Baginda saw titiskan air mata ketika Zaynab ibn Muhammad terpaksa pergi dahulu. Baginda saw seorang ayah yang terbaik, walaupun tidak pernah sekalipun Baginda saw fahami dan rasai arti kasih sayang seorang ayah. Air mata pernah juga sebenarnya mengalir di pipi saat-saat Ibn Mas’ud membacakan sebahagian surah an-Nisaa’ untuk Baginda saw, “Dan bagaimanakah, jika Kami datangkan seorang saksi dari setiap ummah, dan Kami datangkan engkau sebagai saksi kepada mereka?” [4 : 41] Dengan air mata itu, Baginda saw hadiahkan sebuah peradaban dunia. Subhan Allah.



Baginda saw juga seorang perwira. Di tangan Baginda saw, telah ramai hati-hati yang tunduk membesarkan Allah Taala. Baginda saw pernah menegur Khabbab al-Arrat kerana tergesa-tergesa, hanya kerana tidak tahan dengan siksaan Quraisy. Saat lain pula, Baginda saw sempat berjenaka dengan Ali ibn Abu Talib ketika menjamah kurma bersama para sahabat. Pada saat makan kurma itu, biji kurma bekas Ali diletakkan di depan Baginda saw. Ketika hampir selesai, Ali berkata “Ya, Rasulullah kelihatan engkau sangat lapar kerana makan kurma begitu banyak, lihat biji kurma itu banyak di depan engkau.”


Kemudian Baginda saw mejawab, “Bukankah engkau yang sebenarnya sangat lapar kerana makan kurma bersama biji-bijinya” . Dengan semangat perwira disulami jenaka, sebuah peradaban dunia Baginda saw bina. Subhan Allah.



Hari ini, harus kita-kita teruskan langkah. Seperti sedih dan sesal Yunus as sebelum keluar dari gelap perut al-Noon, barangkali kita-kita juga perlu turut berdoa ‘Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh, aku termasuk orang-orang yang zalim’. Kita juga mahu keluar dari kegelapan ini. Juga, kita janji Ustaziyatul Alam sebagai hadiah buat Baginda saw. Dan moga Allah menyampaikan pada Baginda saw di syurga salam rindu kita. Rasulullah, tunggu kami ya!



…Wa Shallallahu ‘ala Sayyidina Muhammad al-Nabi al-Ummi

wa ‘ala Aalihi wa Sahbihi wa Sallim Tasleeman Katheera,

‘Adada Maa Ahaata Bihi ‘Ilmuhu wa Khatta bihi Qalamuhu wa Ahsaahu Kitaabuh...


No comments: